DUNIA
4 terbunuh dalam serangan udara Israel di Lubnan

Kementerian Kesihatan Lubnan mengumumkan pada Jumaat yang beberapa siri serangan udara Israel yang dilancarkan pada Khamis malam mengorbankan empat orang. - Gambar fail/AP
ANKARA: Kementerian Kesihatan Lubnan mengumumkan pada Jumaat yang beberapa siri serangan udara Israel yang dilancarkan pada Khamis malam mengorbankan empat orang, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik media tempatan.
Menurut agensi berita rasmi Lubnan, NNA, jet pejuang Israel melancarkan serangan udara bertalu-talu ke kawasan selatan dan timur Lubnan pada Khamis malam, menyasarkan bandar dan kawasan pergunungan di Lembah Beqaa serta daerah selatan dalam satu peningkatan ketara konflik.
Israel melancarkan operasi ketenteraan di Lubnan pada 8 Oktober 2023, yang kemudian berkembang menjadi serangan berskala penuh menjelang September 2024, mengorbankan lebih 4,000 orang dan mencederakan kira-kira 17,000 lagi.
Satu gencatan senjata dicapai pada November, namun tentera Israel terus melancarkan serangan hampir setiap hari di selatan Lubnan dengan alasan menyasarkan aktiviti Kumpulan Hizbullah Lubnan.Di bawah perjanjian gencatan senjata itu, Israel sepatutnya berundur sepenuhnya dari selatan Lubnan menjelang 26 Januari, namun tarikh akhir itu dilanjutkan ke 18 Februari selepas Tel Aviv enggan mematuhi perjanjian. Israel masih mengekalkan kehadiran tenteranya di lima pos sempadan.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami