Lebih 40,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan dalam pakej rangsangan ekonomi yang keempat yang diumumkan kerajaan Singapura bagi menambah baik situasi pengangguran di negara itu susulan pandemik COVID-19.

Menurut Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan republik itu, Heng Swee Keat, pakej rangsangan ekonomi yang dikenali sebagai ‘Fortitude Budget’ itu bernilai S$33 bilion (RM101 bilion).

Ini pecahan peluang pekerjaan yang diumumkan Heng:

- 15,000 peluang pekerjaan bagi sektor awam akan diwujudkan bagi keperluan jangka masa panjang terutama bagi industri pendidikan awal kanak-kanak, industri kesihatan dan rawatan jangka masa panjang.

- 25,000 lagi akan diwujudkan bagi sektor perniagaan. Heng menjelaskan, agensi terlibat akan bekerjasama dengan syarikat swasta untuk mewujudkan peluang ini terutama menerusi program Adapt dan Grow.

- Bagi memastikan peluang pekerjaan ini dapat dipenuhi sepenuhnya, kerajaan akan meluaskan kapasiti program kerjaya yang diwujudkan sebelum ini seperti ‘Place-and-Train’ dan inisiatif Infocomm Media Development Authority.

- 25,000 peluang lagi akan diwujudkan bagi pelajar praktikal tahun ini termasuk 4,000 peluang pekerjaan bagi mereka yang sedang mencari kerjaya.

- Daripada jumlah itu, 21,000 akan dikhususkan kepada penduduk tetap.

BACA: Singapura rendahkan unjuran pertumbuhan KDNK 2020 antara -7.0 dan -4.0 peratus

Dalam perkembangan berkaitan, bagi menggalakkan syarikat terus mengambil pekerja walaupun dalam keadaan ekonomi ketika ini, kerajaan akan meningkatkan jumlah subsidi di bawah pakej ‘SkillsFuture Mid-Career Support’.

Sebelum ini, kerajaan Singapura telah membentangkan empat pakej rangsangan ekonomi, yang pertama adalah belanjawan tahunan biasa, Belanjawan Perpaduan (Unity Budget) bernilai S$10.9 bilion, pada 18 Februari lepas.

Ia diikuti oleh Belanjawan Berdaya Tahan (Resilience Budget) bernilai S$48 bilion pada 26 Mac dan Belanjawan Solidariti S$5.1 bilion pada 6 April, belanjawan terbaharu itu melibatkan jumlah keseluruhan kira-kira S$100 bilion.