DHAKA: Sekurang-kurangnya 43 orang terbunuh dalam tragedi sebuah bangunan bertingkat terbakar, di sini, sekitar pukul 10 malam waktu tempatan.

Menteri Kesihatan Bangladesh, Samanta Lal Sen berkata, daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 33 orang termasuk wanita dan kanak-kanak disahkan meninggal dunia di Hospital Kolej Perubatan Dhaka.

Sementara, 10 mangsa yang lain meninggal dunia di hospital utama di bandar itu akibat melecur, manakala, berpuluh-puluh lagi mangsa dirawat di hospital sama, kata Sen.

Media tempatan melaporkan, kebakaran itu sukar dikawal kerana api marak terlalu pantas menyebabkan puluhan orang terperangkap.

Pasukan perkhidmatan kecemasan telah dikejarkan ke restoran Kacchi Bhai, yang menurut akhbar Daily Bangladesh, terletak di bangunan tujuh tingkat itu.

“Kami berada di tingkat enam ketika semasa melihat asap tebal dari arah tangga,” kata seorang pengurus restoran bernama Sohel, lapor AFP.

Sohel merupakan antara mangsa yang berjaya diselamatkan pasukan keselamatan.

“Ramai orang bergegas ke atas. Kami menggunakan paip air untuk menuruni bangunan.

"Sesetengah daripada kami cedera ketika mereka melompat dari tingkat atas." - Agensi