44 pelajar Malaysia alami gejala di Mesir disahkan negatif COVID-19

44 pelajar Malaysia yang menunjukkan simptom demam dan selesema baru-baru ini disahkan negatif COVID-19.

Kedutaan juga sentiasa mengemas kini arahan terkini daripada Wisma Putra serta kerajaan Mesir di laman Facebook dan Twitter KBMK untuk diikuti oleh setiap rakyat Malaysia di sana. -Gambar fail/AP | Astro Awani
Seramai 44 pelajar Malaysia di Mesir yang menunjukkan simptom demam dan selesema baru-baru ini disahkan negatif COVID-19.

Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Mohd Haniff Abd Rahman memaklumkan keputusan itu diperoleh selepas mereka menjalani saringan di pusat perubatan di negara itu.

"Seramai 44 orang pelajar menunjukkan simptom (sebelum ini) dan telah dihantar ke pusat saringan di sini. Alhamdulilah semua disahkan negatif," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, ketika peperiksaan bermula awal Julai lalu, atase pendidikan menyediakan perkhidmatan bas dan kereta sewa untuk membawa pelajar ke dewan bagi mengurangkan pendedahan mereka terhadap risiko jangkitan.

Ketika ini, seramai 3,775 rakyat Malaysia di Mesir berada dalam keadaan selamat dan sentiasa dipantau oleh pihak kedutaan, katanya.

"Jumlah rakyat Malaysia di Mesir ketika ini seramai 3,775 orang terdiri daripada 3,687 pelajar serta staf kedutaan iaitu seramai 88 orang," katanya.

Menurut Mohd Haniff, seramai 6,473 rakyat Malaysia dari Mesir telah pulang ke tanah air menaiki 21 penerbangan sewa khas sejak pandemik COVID-19 melanda negara itu.

Bagi memastikan kesihatan dan keselamatan semua, satu pasukan khas COVID-19 turut ditubuhkan bagi proses repatriasi rakyat Malaysia di negara itu.

"Di Kedutaan Besar Malaysia ke Kaherah (KBMK), kita telah menubuhkan sebuah pasukan petugas COVID-19 untuk memudahkan urusan dengan Kementerian Luar Mesir, syarikat penerbangan dan ejen-ejen bagi memudahkan kepulangan rakyat Malaysia.

"Kita sentiasa berhubung rapat degan pihak berkuasa Mesir mengenai kelulusan diplomatik penerbangan lintas dan mendarat khas di Mesir," katanya.

Beliau berkata, kedutaan juga sentiasa mengemas kini arahan terkini daripada Wisma Putra serta kerajaan Mesir di laman Facebook dan Twitter KBMK untuk diikuti oleh setiap rakyat Malaysia di sana.