TULSA: Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh pada Rabu dalam satu kejadian tembakan di sebuah kampus hospital di Tulsa, Oklahoma, Amerika Syarikat.

Polis Tulsa dalam sidang akhbar petang Rabu mengesahkan jumlah itu termasuk suspek yang juga maut akibat tembakan, lapor CNN.

"Pada ketika ini, kami boleh mengesahkan penembak itu telah meninggal dunia," kata Jabatan Polis Tulsa dalam hantaran di akaun Facebook.

Namun tidak dinyatakan sama ada suspek mati ditembak atau menembak dirinya sendiri.


Tidak dapat dipastikan sama ada suspek menyasarkan seseorang atau menembak secara rambang, kata jurucakap polis.

Pihak berkuasa setakat ini belum mengenal pasti identiti lelaki bersenjata itu, namun mengesahkan suspek seorang lelaki kulit hitam yang berumur di antara 35 dan 40 tahun.

Sementara itu, White House dalam satu kenyataan berkata Presiden AS, Joe Biden telah diberi taklimat mengenai insiden.

"White House sedang memantau keadaan dan telah menghubungi pegawai negeri dan tempatan untuk memberikan sokongan," tulis kenyataan itu.

Terdahulu, pihak berkuasa menerima panggilan mengenai seorang lelaki bersenjatakan raifal di Bangunan Perubatan Natalie, di kampus Hospital St Francis.

Polis menerima panggilan pada jam 4.56 petang dan tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian.

Setiba di lokasi, anggota polis bergegas ke tingkat dua di mana beberapa tembakan kedengaran di dalam bangunan itu.