ANKARA: Sekurang-kurangnya enam orang cedera selepas rumah mereka runtuh dalam kejadian gempa bumi pada skala 7.1 di Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang di barat laut China pada awal Selasa, lapor Agensi Anadolu memetik media milik kerajaan.

Pusat gempa dikesan pada kedalaman 22 kilometer di kawasan sempadan pergunungan daerah Wushi.

Setakat ini, enam orang cedera parah manakala empat lagi cedera ringan, kesemuanya dari sebuah kampung di Wilayah Autonomi Kizilsu Kirgiz Xinjiang, lapor Global Times.

Banyak rumah di wilayah itu rosak, termasuk 47 rumah yang runtuh.Wilayah itu setakat ini merekodkan 14 gegaran susulan pada skala 3 atau lebih tinggi, dengan yang paling kuat mencatatkan kadar 5.3, menurut Xinhua.

Pihak berkuasa juga menggantung perkhidmatan kereta api bagi memeriksa kerosakan di sepanjang landasan di wilayah yang terjejas.

Bekalan elektrik yang terganggu buat sementara waktu di beberapa bahagian di wilayah itu, kini pulih secara beransur-ansur.

Gegaran turut dirasai di seluruh Xinjiang, termasuk Urumqi, Hotan, dan Kashgar.

Pihak berkuasa menghantar pasukan penyelamat ke daerah Wushi, namun tiada laporan mengenai kemalangan jiwa dari kawasan yang terjejas setakat ini, menurut laporan itu.

Bulan lepas, gempa bumi kuat pada magnitud 6.2 melanda wilayah Gansu dan Qinghai di China, dengan pusat gempa di Cishan Bao'an Dongxiang dan Daerah Autonomi Salar, mengorbankan 149 orang dan merosakkan 14,000 rumah.

-- BERNAMA