QUEENSLAND: Sekurang-kurangnya enam maut manakala tiga lagi dilaporkan hilang selepas kejadian ribut melanda negeri timur Australia awal minggu ini.

Menurut Pejabat Polis Victoria dan Queensland, mangsa termuda yang terkorban dalam kejadian itu merupakan kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun yang lemas selepas dibawa arus deras.

Usaha mencari dan menyelamat diteruskan bagi mencari dua mangsa yang dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki mereka karam di bahagian selatan Green Island berdekatan dengan Brisbane.

Ribuan rumah di Queensland turut terputus bekalan elektrik.

Ribut dan angin kencang melanda bahagian timur Australia pada 25 dan 26 Disember menyebabkan kejadian banjir di beberapa kawasan.

Bumbung beberapa rumah turut diterbangkan angin dan pokok tumbang dilaporkan di kawasan paling teruk terjejas.

Jabatan Meteorologi masih mengekalkan amaran banjir di negeri bahagian timur di mana hujan lebat berterusan diramalkan.

Syarikat tenaga Energex memaklumkan, kira-kira 86,000 rumah terputus bekalan elektrik pada Rabu.

Dalam catatan pada akaun rasmi di platform X, syarikat itu berkata lebih 800 tiang elektrik mengalami kerosakan teruk dan ia menjangkakan keadaan akan dapat dipulihkan dalam beberapa hari akan datang.

Awal bulan ini Queensland dilanda Siklon Tropika Jasper yang menyebabkan kejadian banjir buruk dan kemusnahan di beberapa kawasan.