JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia menamatkan operasi mencari dan menyelamat selepas mengesahkan semua individu yang berada di lokasi runtuhan gunungan sampah di tapak pelupusan Bantargebang, Bekasi, telah dikenal pasti, dengan tujuh disahkan maut.
Insiden pada Ahad itu berlaku apabila timbunan sampah setinggi puluhan meter runtuh selepas hujan lebat berterusan, menghempap pekerja dan peniaga kecil yang berada di kawasan terbabit.
Advertisement
Bantargebang merupakan tapak pelupusan terbesar di Indonesia, yang menampung 6,500 hingga 7,000 tan sampah setiap hari.
Menurut Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat tempatan, Desiana Kartika Bahari, operasi ditamatkan selepas pasukan penyelamat menemukan mangsa terakhir yang tertimbus.
“Kami menerima maklumat daripada pihak polis bahawa dua individu yang sebelum ini dilaporkan hilang sebenarnya selamat dan telah pulang ke rumah,” katanya.
Bahari berkata, kesemua mangsa yang maut terdiri daripada pemandu lori sampah dan pemilik gerai makanan yang mencari rezeki di sekitar tapak pelupusan tersebut.
Seramai enam mangsa terselamat dalam kejadian tragik itu.
Lebih 200 anggota penyelamat, termasuk penggunaan jentolak dan drone haba, dikerahkan sepanjang operasi bagi menjejaki mangsa yang tertimbus.
Kejadian ini menimbulkan semula persoalan mengenai keselamatan dan pengurusan sisa di kawasan metropolitan Jakarta, yang bergantung kepada tapak pelupusan Bantargebang untuk sebahagian besar pembuangan sampah harian.