INTERNATIONAL
9 anak pasangan doktor di Gaza korban terbaharu kekejaman Israel

Anggota Pertahanan Awam Gaza mengutip sisa mayat mangsa selepas serangan Israel ke atas sebuah rumah di Khan Younis yang mengorbankan sembilan daripada sepuluh anak pasangan doktor. - Gambar AP
GAZA: Sembilan anak kepada pasangan doktor di Gaza terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kediaman keluarga itu di Khan Younis, selatan Gaza, pada Jumaat.
Kesemua mangsa berusia antara tujuh bulan hingga 12 tahun merupakan anak kepada Dr Alaa al-Najjar, pakar kanak-kanak di Hospital Nasser.
Ketika kejadian, beliau sedang bertugas, manakala suaminya, Dr Hamdi al-Najjar, mengalami kecederaan parah.
Anak lelaki mereka, Adam, 11 tahun, satu-satunya yang terselamat, kini berada dalam keadaan kritikal.Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, dua daripada mayat mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan.
Serangan tersebut menyebabkan rumah keluarga itu musnah dan terbakar.
Pengarah Kesihatan Gaza, Dr Muneer Alboursh berkata, serangan berlaku sejurus selepas Dr Hamdi pulang dari menghantar isterinya ke tempat kerja.
Beliau menyifatkan tragedi ini sebagai gambaran penderitaan yang dialami petugas kesihatan di Gaza, dan menuduh Israel “memusnahkan seluruh keluarga”.
Suasana pilu menyelubungi Hospital Nasser apabila orang ramai hadir mengiringi jenazah sembilan beradik itu yang dibaluti kain putih.
Rakaman pertahanan awam turut menunjukkan penyelamat mengangkat sisa-sisa tubuh yang rentung dari kediaman musnah tersebut.
Dikecam sebagai jenayah perang
Pejabat Media Gaza menyifatkan serangan itu sebagai “jenayah perang sepenuhnya di bawah semua undang-undang dan konvensyen antarabangsa” serta simbol kekejaman yang berterusan terhadap rakyat Palestin.
Pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi wilayah Palestin, Francesca Albanese, mengecam serangan tersebut dan menyifatkannya sebagai sebahagian daripada corak “sadistik” dalam “fasa baharu genosid.”
Hamas pula mendakwa, Israel secara sistematik menyasarkan kakitangan perubatan dan keluarga mereka bagi melemahkan semangat rakyat Gaza.
Tindakan ketenteraan berterusan
Tentera Israel dalam kenyataannya berkata, mereka menyasarkan suspek yang beroperasi berhampiran kedudukan pasukan mereka.
“Dakwaan mengenai kematian orang awam sedang disiasat,” katanya.
Israel sebelum ini telah mengeluarkan arahan pemindahan kepada penduduk Khan Younis pada Isnin lalu, diikuti dengan serangan udara intensif hampir setiap hari sejak itu.
Anak-anak pasangan al-Najjar adalah antara puluhan yang terkorban dalam gelombang serangan pada Jumaat dan Sabtu.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, 79 mayat dibawa ke hospital dalam tempoh tersebut, tidak termasuk mangsa di utara Gaza yang kini sukar diakses.
Korban terus meningkat
Sejak serangan dimulakan semula pada 18 Mac lalu, sekurang-kurangnya 3,747 orang telah terbunuh.
Jumlah keseluruhan korban sejak Oktober 2023 kini mencecah 53,901 orang, dengan lebih 122,000 orang cedera, majoritinya orang awam.
Israel mendakwa telah menyerang lebih 100 sasaran dalam tempoh 24 jam lalu.
Krisis kemanusiaan memburuk
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menyifatkan situasi semasa di Gaza sebagai “fasa paling kejam” dalam perang, dengan rakyat Palestin berdepan kekurangan makanan dan ubat-ubatan akibat sekatan berpanjangan.
Bantuan kemanusiaan hanya dibenarkan masuk semula ke Gaza pada Isnin lalu, selepas tertangguh sejak sekatan penuh dikenakan pada 2 Mac.
Majlis Perbandaran Gaza turut memberi amaran mengenai kemungkinan krisis air berskala besar susulan ketiadaan bekalan untuk membaik pulih sistem infrastruktur yang rosak teruk akibat perang.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami