WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) mengumumkan akan memulakan sekatan terhadap semua kapal yang keluar masuk pelabuhan Iran bermula Isnin, susulan kegagalan rundingan damai dan pendirian tegas Tehran yang enggan “menyerah kalah”.
Perintah itu dikeluarkan oleh Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) selepas rundingan peringkat tinggi antara kedua-dua negara di Islamabad berakhir tanpa sebarang persetujuan.
Advertisement
Menurut kenyataan rasmi, sekatan tersebut akan berkuat kuasa pada jam 10 pagi waktu Timur (1400 GMT) dan melibatkan semua kapal tanpa mengira negara yang cuba memasuki atau meninggalkan pelabuhan Iran, termasuk di Teluk Arab dan Teluk Oman.
Bagaimanapun, laluan perkapalan antarabangsa melalui Selat Hormuz bagi kapal yang tidak berurusan dengan Iran akan terus dibenarkan, dalam usaha mengekalkan kebebasan navigasi global.
Langkah tersebut dilihat sebagai tekanan ekonomi dan ketenteraan yang signifikan ke atas Tehran, selepas as mendakwa Iran enggan memenuhi tuntutan termasuk menghentikan program pengayaan uranium dan aktiviti serantau yang dianggap mengancam.
Sementara itu, pihak Iran menegaskan mereka tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan atau ancaman luar.
Pegawai kanan negara itu dilaporkan berkata Iran “tidak akan menyerah kalah”, sambil memberi amaran bahawa sebarang tindakan ketenteraan boleh mencetuskan tindak balas keras.
Pengawal Revolusi Iran turut memberi amaran bahawa kehadiran kapal tentera asing di kawasan strategik seperti Selat Hormuz boleh dianggap sebagai pelanggaran gencatan senjata dan akan ditangani dengan tegas.
Ketegangan yang semakin memuncak ini menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan serantau dan bekalan minyak global, memandangkan Selat Hormuz merupakan salah satu laluan perdagangan tenaga paling penting di dunia.
Walaupun rundingan gagal, kedua-dua pihak masih memberi isyarat bahawa pintu diplomasi belum ditutup sepenuhnya, namun situasi semasa menunjukkan risiko konflik yang lebih besar dalam tempoh terdekat.