JUTAWAN Rusia Roman Abramovich disyaki diracun pada rundingan damai di sempadan Ukraine-Belarus awal bulan ini.

Bagaimanapun, pemilik Chelsea FC itu yang kini sudah pulih dilaporkan mengalami sakit mata dan kulit mengelupas.

Dalam kejadian itu, dua perunding damai Ukraine juga dikatakan terjejas.

Satu laporan berkata, keracunan didakwa didalangi oleh kumpulan tegar Rusia yang mahu mensabotaj rundingan.

Keadaan Abramovich dan perunding Ukraine, termasuk Ahli Parlimen Ukraine Rustem Umerov, telah bertambah baik sejak kejadian pada 3 Mac.

Kumpulan wartawan siasatan Bellingcat mendakwa Abramovich dan perunding Ukraine mengalami gejala seperti terkena keracunan senjata kimia.

Gejala-gejala tersebut termasuk keradangan mata dan kulit.

Bagaimanapun  Abramovich dilaporkan telah terbang ke Tel Aviv Israel pada 14 Mac.

Sumber yang rapat dengan Abramovich memberitahu BBC dia kini telah pulih dan meneruskan rundingan untuk mencuba dan menamatkan perang di Ukraine.

Insiden itu menjelaskan peranan Abramovich yang dilaporkan sebagai broker dalam perbincangan antara Ukraine dan Rusia.

Sebelum ini, Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky ada berkata bahawa Abramovich telah menawarkan bantuan kepadanya bagi mengurangkan pencerobohan Rusia ke atas negara itu.

Jutawan Rusia itu mengembara antara Moscow dan Kyiv bagi beberapa pusingan rundingan pada awal bulan.