SEJAK bermulanya One Belt One Road (OBOR) oleh China, yang kini dikenali sebagai Belt-Road Initiative (BRI), Kerajaan China telah membelanjakan hampir AS$1 trilion dalam usaha memacu perdagangan global dan komersial, melalui kaedah meningkatkan infrastruktur dan kesalinghubungan di Asia, Afrika, dan Amerika Latin.

Sehingga Jun tahun ini, South China Morning Post (SCMP) melaporkan, China telah menandatangani lebih daripada 200 dokumen dengan 152 negara, dan 32 organisasi antarabangsa, dan lebih 3,000 projek kerjasama telah diwujudkan.

Namun, timbul kritikan dan tuduhan, khususnya daripada pegawai-pegawai Kerajaan Amerika Syarikat dan beberapa negara Barat lain, bahawa China sengaja menaikkan jumlah hutang beberapa negara terlibat ke tahap yang tidak terkawal.

Pengkritik mendakwa Beijing telah melibatkan diri dalam “diplomasi perangkap hutang” – dan meninggalkan negara-negara tersebut terbeban dengan hutang yang tidak mampu mereka tanggung lagi.

Menurut artikel tersebut, projek infrastruktur yang diwujudkan kini menimbulkan keraguan daripada segi kemampanan, memandangkan keadaan ekonomi di China juga tidak menentu.

“Beijing telah mengumumkan beberapa pakej polisi pada musim panas yang lepas, bagi mengimbangi risiko selepas pertumbuhan ekonomi mereka hanya berkembang sebanyak 0.8 peratus pada suku kedua tahun ini.

“Biarpun ada petanda ekonomi semakin pulih dan stabil, tetapi daya tahan jangka panjangnya menjadi kerisauan di peringkat global,” menurut artikel itu lagi.

Bagaimanapun China menafikan dakwaan berhubung ‘perangkap hutang’ tersebut, sebaliknya menyalahkan institusi kewangan dan pemiutang komersial pelbagai hala, yang merangkumi lebih daripada 80 peratus hutang negara-negara yang berkaitan.

“Mereka sebenarnya sumber terbesar bebanan hutang yang ditanggung negara-negara membangun ini,” kata Kementerian Luar China dalam artikel tersebut.

Dalam pada itu, SCMP berkata, sebagai tindak balas terhadap BRI China, Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara anggota G7 lain telah melancarkan Kerjasama Infrastruktur dan Pelaburan Global (PGII) bernilai AS$600 bilion, khusus bagi membina infrastruktur yang berasaskan nilai, berimpak tinggi, serta telus, di negara-negara berpendapatan menengah dan rendah.

Memetik kenyataan profesor madya hubungan antarabangsa di Universiti Hong Kong, Austin Strange, pembiayaan infrastruktur global China semakin perlahan susulan kelembapan yang dialami sejak sedekad lepas.

“Ia jelas menunjukkan dana pinjaman bagi infrastruktur yang besar dari perbankan China telah memuncak, dan kerajaan China telah meningkatkan keperluan merit untuk projek berskala kecil,” katanya lagi.

Bagaimanapun Strange menganggap negara-negara membangun akan terus menjadi faktor yang penting untuk kepentingan strategik China, sama ada daripada segi politik atau ekonomi, dan pengurangan pembiayaan infrastruktur tidak membawa maksud pengurangan kepada kepentingan strategik.

Pada 2016, China telah meminjamkan AS$28.5 bilion kepada negara-negara Afrika, jumlah tertinggi yang pernah dicatatkan, dengan penerima tertinggi ialah Angola.

Sejak dari itu, SCMP berkata, Pangkalan Data Pinjaman Cina kepada Afrika di Universiti Boston menyatakan bahawa pinjaman kepada China berkurangan kepada AS$994.5 juta, jumlah terendah yang pernah direkodkan.

Namun, penyelidik kanan Nelson Mandela School of Public Governance, University of Cape Town, Mandira Bagwandeen berkata, ia tidak membawa maksud China akan menghentikan pembiayaan projek infrastruktur, namun negara itu mungkin akan mengurangkan jumlah pembiayaan.

Pemerhati berpandangan, Belt and Road Initiative akan terus kekal selagi mana Presiden Xi Jinping masih berkuasa, memandangkan ia merupakan polisi yang beliau perkenalkan, dan kini telah mempunyai status perlembagaan.