Skip to main content

Dunia

Afghanistan lancar serangan balas terhadap Pakistan - Taliban

FILE PHOTO: Residents gather near a damaged house as a loader clears debris, following the Pakistani airstrikes, in Bihsud district, Nangarhar province, Afghanistan, February 22, 2026. REUTERS/Stringer/File Photo
Penduduk berkumpul berhampiran sebuah rumah yang rosak ketika sebuah jentolak membersihkan serpihan, selepas serangan udara Pakistan, di daerah Bihsud, wilayah Nangarhar, Afghanistan, pada 22 Februari 2026. - Gambar Reuters

KABUL/ISLAMABAD:: Pentadbiran Taliban di Afghanistan mendakwa melancarkan operasi ketenteraan berskala besar terhadap beberapa kedudukan tentera Pakistan di sepanjang sempadan kedua‑dua negara lewat Khamis, sebagai tindak balas terhadap serangan udara Islamabad awal minggu ini.

Jurucakap utama Taliban, Zabihullah Mujahid mendakwa, operasi itu mengakibatkan “ramai anggota tentera Pakistan terbunuh”, selain mendakwa beberapa pos kawalan berjaya ditawan.

Advertisement

Bagaimanapun, kerajaan Pakistan menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan, Afghanistan sebenarnya mengalami “kerugian besar” dalam insiden itu.

Serentak itu, jurucakap Perdana Menteri Pakistan, Mosharraf Zaidi menolak kenyataan Taliban bahawa anggota tenteranya terbunuh atau ditawan, sambil menegaskan semua tindakan agresif dari seberang sempadan menerima “tindak balas segera dan berkesan.”

Kementerian Penerangan Pakistan pula dalam kenyataan di platform X menyifatkan serangan Taliban sebagai “tidak berasas dan tidak diprovokasi” serta mendakwa beberapa pos kawalan serta peralatan ketenteraan Afghanistan telah musnah dalam serangan balas Islamabad.

“Pakistan akan mengambil semua langkah perlu bagi mempertahankan kedaulatan serta keselamatan rakyatnya,” jelas kenyataan itu.

Ketegangan tercetus selepas Taliban mendakwa, serangan udara Pakistan pada Ahad mengorbankan sekurang-kurangnya 18 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Islamabad pula berkata, operasi itu menyasarkan tujuh kem dan lokasi persembunyian militan, yang menurutnya bertanggungjawab terhadap beberapa siri serangan bunuh diri di Pakistan sejak kebelakangan ini.

Taliban kemudian memberi amaran akan membalas “pada masa yang sesuai”, sebelum mengumumkan operasi baharu itu bermula sekitar jam 8 malam waktu tempatan pada Khamis.

Afghanistan dan Pakistan berkongsi sempadan sepanjang 2,574 kilometer, yang sering menjadi lokasi pertempuran antara pasukan keselamatan kedua-dua negara dan kumpulan militan rentas sempadan.

Pada Oktober lalu, kedua-dua negara mencapai gencatan senjata rapuh selepas beberapa siri pertempuran, namun insiden berbalas serangan terus berlaku dari semasa ke semasa.

Situasi terkini membayangkan hubungan Kabul–Islamabad kembali berada pada tahap tegang, dengan kedua-dua pihak saling menuding jari mengenai punca serangan.

Must Watch Video