AFGHANISTAN tersenarai sebagai negara paling tidak bahagia di dunia – bahkan sebelum Taliban berkuasa pada Ogos lalu.

Dapatan itu diperoleh dalam World Happiness Report yang dikeluarkan oleh Sustainable Development Solutions Network untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Laporan berkenaan lazimnya dikeluarkan pada sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia yang jatuh pada 20 Mac lalu.

Afghanistan berada di kedudukan paling bawah dalam kalangan 146 negara yang dipantau dengan skor kebahagiaan hanya mencecah 2.5 markah.

Berada di kedudukan dua terakhir negara paling tidak bahagia ialah Lebanon diikuti Botswana, Rwanda dan Zimbabwe.

Laporan itu turut menyenaraikan Finland di kedudukan pertama sebagai negara paling bahagia di dunia .
Finland memperoleh sekor 7.8 diikuti Denmark, Switzerland, Iceland dan Netherland.

Kajian bagi mengenal pasti kedudukan negara-negara di seluruh dunia itu dibuat selepas menganalisis data-data yang merangkumi pelbagai aspek.

Antara aspek yang dikaji ialah pendapatan per kapita, kebebasan, kepercayaan, harapan untuk hidup sihat selain peringkat rasuah dalam negara itu.

Afghanistan mencatat rekod buruk itu di bawah pemerintahan yang disokong oleh Amerika Syarikat.

Peningkatan kadar kemiskinan selain penggangguran yang tinggi mempengaruhi kedudukannya sebagai negara tidak bahagia.

Kaji selidik yang dibuat oleh firma antarabangsa, Gallup pada 2018 mendapati, majoriti penduduk Afghanistan mengakui mereka tidak memiliki harapan untuk masa depan sekalipun selepas kekuasaan Taliban jatuh pada 2001.

Negara itu juga terheret dalam kancah peperangan, rasuah serta kemiskinan dan penggangguran sejak bertahun lamanya.