Afghanistan, Pakistan setuju kekalkan gencatan senjata dalam rundingan Istanbul

Kedua-dua pihak mengesahkan komitmen untuk mempertahan gencatan senjata dan memutuskan untuk menubuhkan mekanisme pemantauan dan pengesahan.
ANKARA: Afghanistan dan Pakistan bersetuju untuk mengekalkan gencatan senjata semasa mesyuarat yang diadakan di Istanbul di bawah pengantaraan Turkiye dan Qatar, menurut Kementerian Luar Turkiye pada Jumaat, lapor Xinhua.
Rundingan yang dijalankan dari Sabtu hingga Khamis, bertujuan untuk mengukuhkan gencatan senjata yang pada mulanya dipersetujui di Doha dari 8 hingga 19 Oktober dengan penyertaan keempat-empat negara, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian itu.
Kedua-dua pihak mengesahkan komitmen mereka untuk mempertahan gencatan senjata dan memutuskan untuk menubuhkan mekanisme pemantauan dan pengesahan untuk memastikan pematuhan dan mengenakan hukuman ke atas mana-mana pihak yang melanggar, menurut kenyataan itu, sambil menjelaskan yang peruntukan tambahan untuk melaksanakan gencatan senjata akan dibincangkan semasa mesyuarat peringkat tinggi di Istanbul pada 6 November.
Menteri Persekutuan Penerangan dan Penyiaran Pakistan Attaullah Tarar berkata Taliban Afghanistan berjanji pada Khamis untuk bertindak terhadap kumpulan yang beroperasi di bumi Afghanistan, menyatakan harapan yang serangan pengganas dari bumi Afghanistan terhadap Pakistan akan berakhir berikutan perjanjian itu.
Beliau berkata perjanjian itu menetapkan hukuman bagi mana-mana pihak yang didapati melanggar gencatan senjata.
"Rundingan Istanbul ... berakhir dengan persetujuan bahawa kedua-dua pihak akan bertemu lagi dan membincangkan isu yang lain," kata jurucakap kerajaan Afghanistan Zabihullah Mujahid di platform media sosial X pada Jumaat.
Beliau berkata Afghanistan "menginginkan hubungan positif dengan Pakistan dan kekal komited kepada hubungan berdasarkan saling menghormati, tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman dan tidak menimbulkan ancaman kepada mana-mana pihak".
Perkembangan positif itu menyusul selepas perbincangan maraton di Istanbul selepas Turkiye dan Qatar menjadi pengantara dan pusingan rundingan sebelum ini menemui jalan buntu.
Awal bulan ini, kedua-dua negara jiran itu terbabit dalam pertempuran sempadan selama seminggu, selain beberapa pertempuran kecil dan saling tuduh-menuduh.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


