AHLI Kongres Amerika Syarikat (AS), Jamie Raskin menggesa pembebasan segera pakar pediatrik Palestin, Dr Hussam Abu Safiya yang ditahan Israel tanpa pertuduhan atau perbicaraan, selain didakwa mengalami penderaan ketika dalam tahanan.
Raskin, yang mewakili Parti Demokrat, berkata kerajaan pimpinan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu perlu membebaskan doktor berkenaan segera daripada keadaan tahanan yang menurut beliau menyalahi undang-undang serta mengancam nyawa.
Dalam hantaran di platform X pada Selasa, beliau berkata Dr Abu Safiya ditahan tanpa melalui proses yang sewajarnya.
"Pakar pediatrik Palestin, Dr Hussam Abu Safia ditahan dan dilaporkan diseksa di dalam penjara Israel tanpa sebarang pertuduhan, perbicaraan, dan proses undang-undang yang sewajarnya," katanya dalam hantaran itu.
Palestinian pediatrician Dr. Hussam Abu Safiya is being held and reportedly tortured in an Israeli prison with no charges, no trial and no Due Process. Netanyahu's government must immediately release him from these lawless, horrific and life-threatening conditions.
— Rep. Jamie Raskin (@RepRaskin) July 13, 2026
Dr Abu Safiya, pengarah Hospital Kamal Adwan di utara Gaza, ditahan tentera Israel ketika operasi di hospital berkenaan pada 27 Dis 2024 dan masih berada dalam tahanan sehingga kini.
Desakan Raskin itu dibuat selepas Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Wilayah Palestin Diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur, serta Kumpulan Kerja PBB mengenai Penahanan Arbitrari turut menggesa pembebasan segera beliau.
Kebimbangan terhadap keselamatan dan keadaan kesihatan Dr Abu Safiya dibangkitkan peguamnya, Nasser Odeh, selepas lawatan ke penjara baru-baru ini.
Menurut Physicians for Human Rights Israel, Odeh mendapati Dr Abu Safiya mengalami kecederaan serius dan kesan penderaan fizikal sehingga beliau sukar mengecam wajah doktor tersebut.
Suruhanjaya Siasatan PBB turut menyatakan terdapat laporan yang boleh dipercayai mengenai penderaan berterusan terhadap Dr Abu Safiya, manakala pihak berkuasa penjara Israel menafikan dakwaan berkenaan.