Skip to main content

Dunia

Air China sambung semula penerbangan ke Korea Utara selepas 6 tahun berhenti

An Air China plane is seen in Seoul, South Korea, on May 26, 2024. (File photo: Reuters/Kim Soo-hyeon)
Air China pada Isnin (30 Mac) menyambung semula penerbangan terus antara Beijing dan Pyongyang selepas dihentikan selama enam tahun. - Gambar Reuters

BEIJING: Air China pada Isnin (30 Mac) menyambung semula penerbangan terus antara Beijing dan Pyongyang selepas dihentikan selama enam tahun, satu lagi tanda bahawa Korea Utara yang terasing semakin membuka sempadannya secara perlahan-lahan berikutan penyambungan semula perkhidmatan kereta api antara kedua-dua ibu kota.

China telah menjadi penyelamat kepada ekonomi Korea Utara yang tenat sebagai rakan dagang terbesar serta sumber sokongan diplomatik dan politik yang penting.

Advertisement

Namun begitu, perjalanan antara kedua-dua negara jiran Asia Timur itu sangat terhad sejak 2020 apabila Korea Utara mengenakan penutupan sempadan ketat semasa pandemik COVID-19.

Penerbangan CA121 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital pada 7.58 pagi, menurut data FlightStats, dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sunan di Pyongyang pada 11 pagi (10 pagi waktu Singapura), menurut laman web Air China. 

Para penumpang di lapangan terbang yang sibuk itu dilihat beratur panjang untuk mendaftar masuk bagasi mereka bersama syarikat penerbangan berkenaan, menurut wartawan AFP.

Keengganan berterusan Pyongyang untuk mengeluarkan visa pelancong bermakna hanya pelawat dengan urusan rasmi atau tujuan khas tertentu sahaja dibenarkan membuat perjalanan rentas sempadan itu.

Seorang pengembara perniagaan menuju ke Pyongyang, Zhao Bin, menunjukkan tiket penerbangannya kepada wartawan dan menyatakan keyakinannya bahawa sektor pelancongan bagi pelawat dari China akan kembali dibuka.

“Saya menjangkakan kedua-dua laluan kereta api dan penerbangan Air China akan bertambah, dan akan berlaku lebih banyak pertukaran serta perjalanan antara rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Tiket kelas ekonomi dijual sekitar AS$200, menurut AFP dan penerbangan pulang dari Pyongyang dijadualkan pada waktu tengah hari.

Perkhidmatan kereta api penumpang harian telah disambung semula bulan ini dengan China, yang merupakan sumber utama kebanyakan pelawat asing ke Korea Utara.

Namun wartawan AFP di bandar Dandong di timur laut China yang lama menjadi pintu masuk utama perjalanan dan perdagangan dengan Korea Utara — melihat tren penumpang harian yang menuju ke negara itu hampir kosong minggu lalu.

China telah membuka sempadannya sepenuhnya selepas pandemik, tetapi Korea Utara bergerak lebih perlahan. 

Korea Utara menyambung semula penerbangan terus dan perkhidmatan kereta api dengan Rusia tahun lalu dan syarikat penerbangan nasional Air Koryo telah memulakan semula penerbangan antara Beijing dan Pyongyang pada 2023.

Young Pioneer Tours, yang mengkhususkan dalam pakej perjalanan ke Korea Utara, memberitahu AFP pada Mac bahawa penyambungan semula laluan Air China ke Beijing memudahkan lagi akses sambungan ke Pyongyang.

“Dahulu, Air China juga mengendalikan penerbangan pada hari Rabu dan Jumaat, jadi berkemungkinan perkhidmatan tambahan boleh ditambah semula dalam masa terdekat,” kata Rowan Beard, pengurus pelancongan Young Pioneer.

Walaupun pengumuman penerbangan ini “memberangsangkan” untuk sektor pelancongan, “masih tiada pengesahan lanjut mengenai pelancong dari Barat,” tambah Beard. - Agensi

Must Watch Video