KUALA LUMPUR: Usaha berterusan perlu dipergiat bagi mengurangkan kos pembiayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), khususnya ketika sektor itu berdepan peningkatan kos operasi susulan ketidaktentuan geopolitik dan geoekonomi akibat konflik di Asia Barat.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim berkata langkah itu penting bagi membantu perusahaan yang masih kurang mendapat liputan sistem kewangan arus perdana bagi pembiayaan dan modal kerja.
“Ramai PMKS, khususnya perusahaan mikro dan kecil, masih menghadapi kesukaran mendapatkan pembiayaan, terutamanya disebabkan rekod kredit yang terhad serta kos pembiayaan yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Justeru, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengalu-alukan peranan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) dalam membantu merapatkan jurang pembiayaan ini menerusi skim jaminan, khidmat nasihat kewangan dan inisiatif pemudah cara pembiayaan.
Sim berkata perkara itu dimaklumkan beliau semasa mempengerusikan mesyuarat bersama CGC bagi membincangkan usaha memperkukuh akses pembiayaan dan akses modal bagi PMKS di Malaysia.
Semasa mesyuarat tersebut, CGC memberi taklimat mengenai beberapa inisiatif yang sedang dilaksanakan termasuk skim jaminan kredit, kemudahan pembiayaan, latihan pemasaran digital, program pembangunan usahawan belia serta sesi jaringan PMKS di seluruh negara.
Selain itu, Sim turut meminta agensi di bawah KUSKOP khususnya SME Corp Malaysia untuk memperkukuh kerjasama dengan CGC dan meningkatkan hebahan mengenai maklumat pembiayaan, bantuan dan saluran pembiayaan yang sesuai menerusi platform seperti khidmat nasihat pembiayaan (MyKNP) dan laman rujukan pembiayaan dalam talian (imSME) yang disokong oleh CGC dan Bank Negara Malaysia.
Beliau berkata KUSKOP komited untuk terus bekerjasama rapat dengan institusi kewangan, institusi kewangan pembangunan dan rakan ekosistem bagi mempertingkat akses pembiayaan, memperkukuh daya tahan PMKS dan menjayakan agenda “Hebatkan Perniagaan Malaysia”.
--BERNAMA