Air mata pemimpin agung Iran 'tumpah' imamkan solat jenazah Soleimani

Agensi
Januari 6, 2020 11:10 MYT
Malah, kesedihan tidak dapat disembunyikan Ali Khamenei apabila pada satu saat, beliau turut menitiskan air mata. Foto: AP NEWSROOM
Ribuan penduduk Iran menitiskan air mata hari ini saat mengusung keranda pemimpin kanan tentera, Komander Qassem Soleimani yang terbunuh dalam serangan udara Amerika Syarikat di Baghdad.
Orang ramai yang hadir turut serta menunaikan solat jenazah yang diadakan di Tehran bersama pemimpin Agung negara itu, Ayatollah Ali Khamenei yang mengimamkan solat jenazah itu.
Malah, kesedihan tidak dapat disembunyikan Ali Khamenei apabila pada satu saat, beliau dilihat turut menitiskan air mata.
Terdahulu, jenazah Soleimani tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ahvaz awal pagi tadi.
Stesen televisyen Iran mengadakan siaran langsung memaparkan ribuan orang berpakaian hitam berhimpun di bandar barat daya Iran itu.
BACA: Jenazah Soleimani tiba di Iran
Jenazah komander berkenaan kemudian dijangka dibawa ke bandar Qom sebelum dikebumikan di kampung halamannya di Kerman pada Selasa.
Rakaman menunjukkan orang ramai yang berkabung berkumpul di Dataran Mollavi dengan bendera hijau, putih dan merah melambangkan darah mereka yang terkorban.
Susulan pembunuhan itu, Iran melantik Esmail Ghaani, sebagai jeneral baharu untuk mengetuai angkatan Quds menggantikan Soleimani.
BACA: Esmail Ghaani dilantik jeneral baharu Quds ganti Qassem Soleimani
Pembunuhan kejam itu mencetuskan ketegangan antara Tehran dan Washington.
BACA: Pembunuhan Soleimani jenayah terbesar Amerika Syarikat - Iran
BACA: Rakyat Iran mahu tuntut bela atas kematian Soleimani
#Ayatollah Ali Khamenei #Pemimpin Agung Iran #Qassem Soleimani #serangan udara #solat jenazah