INTERNATIONAL
Akademi mohon maaf gagal bela penggiat filem Palestin diserang Israel

Hamdan Ballal dibebaskan selepas sehari berada dalam tahanan tentera Israel. - Gambar AP
LOS ANGELES: Akademi Seni dan Sains Filem (The Academy) memohon maaf kerana gagal mempertahankan pembikin filem Palestin yang memenangi Oscar yang diserang oleh penduduk peneroka Israel.
Kumpulan itu yang menganjurkan dan memberikan anugerah Oscar setiap tahun kepada karyawan filem telah menulis kepada ahli-ahlinya selepas beberapa bintang terkenal seperti Joaquin Phoenix, Penelope Cruz dan Richard Gere mengkritik reaksi awal Akademi yang disifatkan lesu terhadap insiden tersebut.
Akademi itu menegaskan, mereka “mengutuk keganasan seperti ini di mana-mana sahaja di dunia” serta kepimpinan organisasi itu juga “mengecam sebarang bentuk penindasan terhadap kebebasan bersuara dalam apa sahaja keadaan,” menurut surat yang diperoleh agensi berita antarabangsa, AFP.
Hamdan Ballal yang juga pengarah bersama filem dokumentari “No Other Land,” telah memenangi anugerah filem dokumentari terbaik pada Anugerah Akademi (Oscar) tahun ini.Awal minggu ini, beliau mendakwa telah diserang oleh peneroka dan ditahan dengan senjata oleh tentera di Tebing Barat yang diduduki Israel.
Berbeza dengan beberapa kumpulan pembikin filem terkenal lain, Akademi yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu pada mulanya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai insiden tersebut.
Pada Rabu, mereka mengeluarkan sepucuk surat kepada ahli dan mengutuk “sebarang perbuatan mencederakan atau menekan artis kerana karya atau pandangan mereka,” namun tidak menyebut nama Ballal secara langsung.
Menjelang pagi Jumaat, lebih daripada 600 ahli Akademi telah menandatangani kenyataan mereka sendiri sebagai tindak balas.
“Adalah tidak boleh diterima bagi sebuah organisasi yang menganugerahkan sebuah filem pada minggu pertama Mac, kemudian gagal mempertahankan pembikin filemnya hanya beberapa minggu kemudian,” kata ahli-ahli tersebut.
“Kami mengecam serangan kekejaman dan penahanan tidak sah terhadap pembikin filem Palestin yang memenangi Oscar, Hamdan Ballal oleh peneroka dan pasukan tentera Israel di Tebing Barat,” tambah mereka.
Maklum balas kepimpinan Akademi “jauh daripada mencerminkan keperluan mendesak dalam situasi ini,” menurut kenyataan ahli-ahli berkenaan.
Lembaga Pengarah Akademi yang berpangkalan di Los Angeles mengadakan mesyuarat luar biasa pada Jumaat untuk menangani krisis yang semakin mendalam ini, menurut laporan Deadline, sebuah media industri hiburan.
Kemudian pada hari yang sama, Akademi mengeluarkan permohonan maaf kepada Ballal “dan semua artis yang merasakan diri mereka tidak disokong oleh kenyataan awal kami.”
“Kami kesal kerana gagal menyebut secara langsung nama Ballal dan filemnya,” kata kenyataan tersebut.
“No Other Land” menceritakan pemindahan secara paksa rakyat Palestin oleh tentera dan peneroka Israel di Masafer Yatta iaitu sebuah kawasan yang diisytiharkan oleh Israel sebagai zon ketenteraan terhad sejak tahun 1980-an.
Meskipun memenangi anugerah Oscar yang berprestij, filem itu berdepan kesukaran untuk mendapatkan pengedar utama di AS.
Selepas insiden pada Isnin lalu, Ballal memberitahu AFP “kekejaman” serangan tersebut membuatkan beliau berpendapat, ia berpunca daripada kemenangan Oscar yang diperolehnya.
Semasa ditahan di sebuah pusat tentera Israel, Ballal mendengar tentera menyebut namanya bersama perkataan “Oscar” semasa pertukaran syif.
Beliau dibebaskan pada hari Selasa setelah ditahan sehari sebelumnya atas tuduhan kononnya “melempar
batu.”
Yuval Abraham yang turut mengarah dan tampil dalam dokumentari tersebut, telah mengkritik maklum balas Akademi.
“Selepas kritikan kami, pemimpin Akademi menghantar e-mel kepada ahli dengan alasan keengganan mereka bersuara tentang serangan terhadap Hamdan: mereka perlu menghormati ‘pandangan unik,” tulis Abraham di platform X sambil berkongsi imej tangkap layar surat Akademi itu. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami