BANDAR GAZA: Tiga kanak-kanak Palestin yang merupakan pemain di Akademi Al-Wahda di Gaza terbunuh dalam serangan Israel ke atas bandar Deir al-Balah di tengah Semenanjung Gaza, umum institusi sukan itu pada Ahad.

"Kami dilanda kesedihan atas syahidnya pemain Sami Bilal Abu Issa dan Muhammad Bilal Abu Issa dari Akademi Al Wahda," menurut akademi itu dalam kenyataan, seperti dilaporkan Agensi Anadolu.

Dalam kenyataan berasingan, akademi itu berkata seorang lain pemain Adam Ramez Nabhan terbunuh dalam satu lagi pengemboman Israel pada Jumaat.

Sumber perubatan mengesahkan kepada Agensi Anadolu bahawa pemain Sami Abu Issa, 4, dan Muhammad Abu Issa, 6, yang merupakan adik-beradik, terbunuh dalam pengeboman Israel pada Sabtu yang menyasarkan sebuah rumah kediaman di pusat bandar.



Sumber itu berkata Nabhan, 6, terbunuh dalam satu lagi pengeboman Israel pada Jumaat.

Serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt 2023, setakat ini mengorbankan lebih 33,700 rakyat Palestin dan mencederakan hampir 76,400 orang menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.

Perang Israel telah menyebabkan 85 peratus penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan, manakala 60 peratus infrastruktur di wilayah itu telah rosak atau musnah, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Israel didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan keputusan sementara pada Januari mengarahkan Tel Aviv menghentikan tindakan pembunuhan beramai-ramai dan mengambil langkah-langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza.

-- BERNAMA