Aktivis Nobel Iran, Narges Mohammadi dijatuhi hukuman penjara tambahan tujuh tahun

Narges didapati bersalah atas dua pertuduhan — enam tahun penjara atas kesalahan “berkumpul dan berkomplot” serta satu setengah tahun lagi atas kesalahan menjalankan “aktiviti propaganda.” - Gambar fail Reuters
TEHRAN: Penerima Anugerah Nobel Keamanan, Narges Mohammadi, dijatuhi hukuman penjara tambahan selama tujuh tahun setengah oleh sebuah mahkamah di Iran, menurut peguamnya.
Menurut Mostafa Nili, Narges didapati bersalah atas dua pertuduhan — enam tahun penjara atas kesalahan “berkumpul dan berkomplot” serta satu setengah tahun lagi atas kesalahan menjalankan “aktiviti propaganda.”
Keputusan itu disampaikan mahkamah di Mashhad dan diumumkan Mostafa menerusi media sosial pada Ahad.
Narges, seorang aktivis hak asasi wanita berusia 53 tahun, ditahan pada Disember selepas didakwa membuat kenyataan “provokatif” ketika menghadiri satu majlis peringatan.
Keluarganya mendakwa, beliau dipukul ketika ditahan sebelum dihantar ke hospital akibat kecederaan.
Peguamnya berkata, ini merupakan kali pertama beliau dapat bercakap dengan Narges sejak 14 Disember.
Selain hukuman penjara baharu itu, Narges turut dikenakan larangan ke luar negara selama dua tahun dan perintah buangan dua tahun ke wilayah Khusf di timur Iran.
Ditahan, dipukul dan mogok lapar
Yayasan Narges, organisasi yang menyokong aktivis itu menyifatkan, prosiding mahkamah pada Sabtu lalu sebagai satu “sandaran palsu” dan memaklumkan bahawa Mohammadi telah memulakan mogok lapar sejak 2 Februari.
Mostafa turut memaklumkan bahawa Narges dimasukkan ke hospital tiga hari lalu kerana keadaan fizikalnya yang merosot, namun kemudiannya dibawa kembali ke pusat tahanan.
“Ketika beliau mula menjelaskan apa yang berlaku semasa penahanan, talian telefon terus diputuskan,” katanya.
Suami Narges, Taghi Rahmani, pula menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai “kejam dan sangat tidak adil”, sambil menegaskan isterinya enggan membela diri kerana percaya sistem kehakiman Iran “tidak mempunyai sebarang legitimasi.”
Menurutnya, Narges tidak berkata sepatah pun dan tidak menandatangani sebarang dokumen sepanjang prosiding.
Lebih 10 tahun dalam penjara
Narges telah menghabiskan lebih 10 tahun hidupnya dalam tahanan.
Dengan hukuman terbaharu ini, tempoh keseluruhan hukuman yang perlu dijalaninya meningkat kepada 44 tahun.
Sejak 2021, beliau sedang menjalani hukuman 13 tahun atas dakwaan “aktiviti propaganda terhadap negara” dan “berkomplot menjejaskan keselamatan negara”, dakwaan yang disangkalnya.
Pada Disember 2024, beliau dibenarkan keluar seketika selama tiga minggu atas faktor kesihatan dari Penjara Evin yang terkenal dengan tahanan politiknya.
Namun beliau dijangka kembali menjalani hukuman sejurus selepas itu.
Penahanan terbaharu berlaku ketika Narges menghadiri majlis memperingati Khosrow Alikordi, seorang peguam yang ditemui mati di pejabatnya pada awal Disember.
Beberapa saksi mendakwa, Narges diserang oleh kira-kira 15 ejen berpakaian preman — ditarik rambut serta dipukul dengan kayu dan belantan.
Pihak pendakwa di Mashhad berkata, Narges adalah antara 39 individu yang ditahan ketika itu kerana didakwa menggalakkan peserta majlis untuk melaungkan slogan yang “melanggar norma” dan “mengganggu ketenteraman umum.”
Aktivis itu sebelum ini turut menandatangani satu petisyen mengecam pihak berkuasa Iran, dengan mendesak agar mereka yang bertindak atas arahan Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei, dipertanggungjawabkan atas apa yang didakwa sebagai “jenayah terhadap kemanusiaan” susulan kematian penunjuk perasaan sejak hujung 2023.
Sumber hak asasi melaporkan lebih 50,000 orang telah ditahan berkaitan demonstrasi tersebut, dengan lebih 6,500 penunjuk perasaan disahkan terbunuh.
Empat lagi aktivis terkemuka - Abdollah Momeni, Mehdi Mahmoudian, Vida Rabbani dan Ghorban Behzadian-Nejad turut ditahan sejak 31 Januari kerana penglibatan mereka dalam petisyen itu.
Taghi Rahmani menyeru pembebasan “semua tahanan politik di Iran.” - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


