INTERNATIONAL
Ali Khamenei arah siasatan penuh letupan Pelabuhan Iran ragut 40 nyawa

Asap tebal kelihatan susulan letupan dan kebakaran di sebuah pelabuhan berhampiran bandar pelabuhan selatan Bandar Abbas, Iran, pada Sabtu. - Gambar AP
TEHRAN: Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei mengarahkan siasatan menyeluruh punca letupan besar di sebuah pelabuhan utama di selatan Iran yang mengorbankan sekurang-kurangnya 40 orang dan mencederakan lebih 1,000 lagi.
Arahan itu dikeluarkan selepas Presiden Masoud Pezeshkian melawat lokasi kejadian di Pelabuhan Shahid Rajaee, berhampiran Selat Hormuz, di mana kebakaran masih marak lebih 24 jam selepas letupan.
"Pegawai keselamatan dan kehakiman wajib menjalankan siasatan penuh, mengenal pasti sebarang unsur kecuaian atau niat jahat dan mengambil tindakan mengikut peraturan," kata Khamenei dalam kenyataan yang disiarkan di televisyen.
Berikutan pencemaran udara dan asap tebal di kawasan sekitar, semua sekolah dan pejabat di Bandar Abbas - ibu negeri wilayah Hormozgan diarahkan tutup bagi membolehkan operasi kecemasan dijalankan, menurut laporan televisyen negara.Kementerian Kesihatan Iran turut menggesa penduduk untuk tidak keluar rumah dan memakai pelitup muka sehingga diberitahu kelak.
Dalam lawatannya, Presiden Pezeshkian menyatakan penghargaan kepada pasukan penyelamat dan berikrar kerajaan akan membantu keluarga mangsa serta individu yang cedera akibat insiden itu.
Gambar yang dikeluarkan pejabat Presiden menunjukkan beliau melawat seorang mangsa yang sedang dirawat di hospital.
Kedutaan Rusia pula mengesahkan menghantar beberapa pesawat membawa pakar untuk membantu operasi memadam kebakaran.
Akhbar The New York Times memetik sumber berkaitan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) melaporkan, bahan yang meletup dipercayai natrium perklorat - komponen utama dalam bahan api pepejal untuk peluru berpandu.
Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Pertahanan, Reza Talaei-Nik menafikan terdapat sebarang kargo berkaitan bahan api atau kegunaan ketenteraan di kawasan itu.
Pejabat Kastam Pelabuhan Shahid Rajaee pula menyatakan letupan dipercayai berpunca daripada kebakaran di gudang penyimpanan bahan kimia dan bahan berbahaya.
Kawasan letupan ditutup, usaha menyelamat diteruskan
Pegawai kecemasan wilayah, Mohammad Ashouri, mengesahkan 40 kematian akibat kecederaan letupan, manakala agensi berita ISNA melaporkan seramai 1,242 orang cedera.
Ketua Bulan Sabit Merah Iran, Pirhossein Koolivand berkata, sebahagian mangsa telah diterbangkan ke Tehran untuk rawatan lanjut.
Wartawan televisyen tempatan melaporkan kebakaran telah "dikawal tetapi belum sepenuhnya dipadam."
Menteri Dalam Negeri Iran, Eskandar Momeni yang turut berada di lokasi berkata, keadaan di pelabuhan yang merupakan pelabuhan komersial terbesar Iran kini stabil dan operasi pemunggahan kontena serta pelepasan kastam telah disambung semula.
Menteri Jalan Raya dan Pembangunan Bandar, Farzaneh Sadegh pula mengesahkan hanya satu zon pelabuhan terjejas.
Pasukan penyelamat dilihat menggunakan helikopter untuk memadam kebakaran, manakala media tempatan menyiarkan gambar kontena rosak dan operasi membawa keluar mayat mangsa.
Pihak berkuasa turut menutup semua jalan menuju ke kawasan pelabuhan dan penyaluran maklumat hanya melalui media rasmi Iran.
Iran berkabung
Letupan di pelabuhan itu turut menyebabkan tiga rakyat China cedera tetapi stabil, menurut Kementerian Luar Negeri China.
Beberapa buah negara termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Mesir, Pakistan, India, Turkiye, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Rusia turut menyampaikan ucapan takziah kepada Iran.
Pergerakan Hezbollah yang disokong Tehran juga merakamkan ucapan takziah dan menyatakan keyakinan
Iran akan mampu mengatasi tragedi tersebut.
Kedutaan Jerman di Tehran turut menyatakan simpati terhadap Bandar Abbas menerusi satu hantaran di Instagram.
Pihak berkuasa Iran telah mengisytiharkan hari Isnin sebagai Hari Berkabung Kebangsaan, dan tiga hari berkabung di wilayah Hormozgan bermula Ahad.
Letupan ini berlaku ketika delegasi Iran dan Amerika Syarikat sedang mengadakan rundingan di Oman berhubung program nuklear Iran, dengan kedua-dua pihak melaporkan kemajuan.
Bagaimanapun, insiden ini berlaku dalam konteks ketegangan jangka panjang antara Iran dan Israel, di mana Washington Post sebelum ini melaporkan Israel pernah melancarkan serangan siber terhadap Pelabuhan Shahid Rajaee pada 2020. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami