Al-Majd Europe ejen pemerdagangan manusia Israel

Penerbangan sebegitu disifatkan sebagai agenda jelas Zionis untuk membawa keluar penduduk Palestin daripada bumi Gaza dan Tebing Barat.
KALAU tidak kerana insiden pelarian Gaza terkandas di Afrika Selatan, nama Al-Majd Europe tidak dipedulikan masyarakat antarabangsa.
Ramai tertanya-tanya tentang nama Arab yang digunakan agensi berkenaan apabila 153 rakyat Palestin daripada wilayah berkenaan terkandas di Johannesburg, Afrika Selatan pada Khamis lalu selepas diterbangkan daripada Lapangan Terbang Ramon, Israel melalui Nairobi, Kenya.
Penerbangan itu menjadi misteri selepas ia tiba di Lapangan Terbang OR Tambo, apabila pihak berkuasa mendapati kesemua penumpangnya tidak mempunyai cop pelepasan pada pasport mereka.
Kejadian yang berlaku mendapat reaksi masyarakat antarabangsa yang prihatin dengan nasib mangsa yang terbang beribu kilometer ke negara ketiga untuk mencari perlindungan daripada genosid berterusan yang dilakukan rejim pengganas Zionis ke atas penduduk Gaza.
Paling terkesan dengan insiden yang berlaku ialah Presiden Cyril Ramaphosa yang menegaskan akan menyiasat kejadian ‘misteri’ ketibaan pesawat sewa khas dari Israel ke negaranya.
Selepas lebih setengah hari bertarung dengan kepanasan dan visualnya ditular, sebahagian besar akhirnya dibenarkan masuk selepas campur tangan sebuah badan amal tempatan Gift of the Givers menawarkan untuk menempatkan mereka.
Dari 153 orang, 23 penduduk Gaza memutuskan untuk terbang ke negara lain yang tidak dinyatakan manakala baki yang ada diberikan visa selama tiga bulan (90 hari) oleh kerajaan Afrika Selatan.
Dalam kenyataan pada Isnin lepas, menteri luar negara itu, Ronald Lamola menegaskan tidak lagi akan menerima sebarang pesawat sewa khas yang membawa pelarian Palestin.
Tegas beliau, penerbangan sebegitu adalah agenda jelas Zionis untuk membawa keluar penduduk Palestin daripada bumi Gaza dan Tebing Barat.

Ketibaan pesawat yang penuh dengan pelarian Gaza di Afrika Selatan disifatkan sebagai agenda jelas Zionis untuk membawa keluar penduduk Palestin daripada bumi Gaza dan Tebing Barat. - AP
Menjawab desakan media, Coordinator of Government Activities in the Territories atau Cogat sebuah badan di bawah agensi ketenteraan Israel dalam kenyataannya menegaskan penduduk Gaza dibenarkan meninggalkan wilayah berkenaan selepas menerima kebenaran daripada negara ketiga yang bersedia menerima mereka.
Namun begitu, ia tidak memperincikan negara terbabit.
Mengulas kejadiaan yang berlaku, Kedutaan Palestin di Afrika Selatan, menjelaskan kumpulan itu berlepas dari Israel dan terbang melalui Nairobi, ibu negara Kenya, tanpa sebarang makluman atau penyelarasan terlebih dahulu.
Ia juga mendakwa sebuah organisasi yang tidak berdaftar dan mengelirukan telah mengambil kesempatan terhadap keadaan kemanusiaan tragis di Gaza dengan memperdaya keluarga, mengutip wang daripada mereka dan memudahkan perjalanan mereka dengan cara yang tidak teratur dan tidak bertanggungjawab.
Setakat ini, pihak berkuasa dan pemerhati telah mengumpul maklumat mengenai proses transit yang dijalankan serta individu atau pihak yang menguruskan organisasi terbabit.
Bagaimanapun, persoalannya terjawab apabila wartawan Al Jazeera, Soraya Lennie mendedahkan bahawa Al-Majd Europe tidak lain tidak bukan adalah proksi Zionis untuk melaksanakan pembersihan etnik terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Memetik laporan akhbar Haaretz, beliau menjelaskan bahawa entiti berkenaan dikendalikan oleh individu yang memegang dua kerakyatan iaitu Israel dan Estonia, Tomer Janad Lind.
Operasinya dibuat dibuat bagi memenuhi keperluan Biro Imigrasi Sukarela yang dikendalikan di bawah Kementerian Pertahanan Israel yang disokong kumpulan sayap kanan Zionis dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Misinya adalah jelas, iaitu menyediakan kemudahan memindahkan penduduk Palestin dari Gaza ke negara lain.
Menurut laporan, penumpang dikenakan bayaran sehingga AS$2,000 untuk dipindahkan keluar daripada wilayah Gaza menuju ke negara ketiga termasuk Indonesia dan Malaysia.
Kenyataan berkenaan menunjukkan agensi berkenaan mengambil kesempatan dengan keadaan yang berlaku di Gaza dengan mengangkut keluar mereka yang mampu ke negara ketiga.
Dalam erti kata mudah Israel selain berterusan melakukan genosid, ia kini menggunakan satu lagi cara terkutuk iaitu pemerdagangan manusia untuk memperdaya penduduk Gaza supaya keluar daripada tanah air mereka.
AS dan Barat yang selama ini memperjuang hak asasi manusia dan menganggap diri mereka paling lantang menentang aktiviti sebegini terus berdiam diri.
Mereka sekali lagi tunduk dengan permainan Zionis, anti-semitisme.
* Artikel oleh Razali Awang, Perunding Media Alkhair Malaysia.
** Penulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian dari bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

