Harga emas yang terus meningkat tidak menghalang amalan pemberian dowri (hantaran kahwin) di India dan sebaliknya menjadikan keluarga lebih inovatif dalam memenuhi permintaan dowri.

Emas, yang secara tradisi diberi oleh keluarga pengantin perempuan sebagai hantaran kahwin, tidak lagi menjadi pilihan utama lebih-lebih lagi selepas harga komoditi itu melepasi paras Rs32,000 (RM1,747) bagi 10gm baru-baru ini.

Sekarang ini, kebanyakan keluarga India nampaknya telah beralih daripada emas kepada wang tunai atau harta atau kombinasi mana-mana dua atau ketiga-tiganya.

Di India yang moden pada hari ini, sistem dowri nampaknya mengatasi cabaran peralihan zaman dan perundangan yang melarangnya. Sebenarnya, ia terus berkembang walaupun ramai menganggap pemberian dowri ini sebagai amalan tidak sihat.

Majlis perkahwinan yang mewah dan dowri sebagai syarat perkahwinan dalam realiti diamalkan secara meluas oleh masyarakat India dan menerima liputan glamor di media walaupun dowri dikatakan menjadi punca kekejaman terhadap wanita di negara ini.

Dowri, yang juga dikenali sebagai Stree Dhan, sebenarnya adalah hadiah yang diberi kepada pengantin perempuan oleh ibu bapa dan sanak saudara untuk menyempurnakan perkahwinannya.

Dalam kitab Hindu, Veda, ia dijelaskan sebagai Kanyadaan (hadiah untuk gadis), kata Nitasha Agarwal, ketua pengurus Smile Foundation, sebuah NGO yang menumpukan usaha dalam menjaga kebajikan dan memperkasa kaum hawa.

"Memandangkan seorang anak perempuan dalam sebuah keluarga tidak mempunyai hak sama rata terhadap harta keluarga, mereka diberi hadiah dalam bentuk dowri tetapi ia kadangkala digunakan untuk memikat keluarga pengantin lelaki.

"Ini membawa musibah kepada kaum hawa dan bertentangan dengan hak asasi mereka.

"Gadis dianggap sebagai liabiliti, oleh itu pembunuhan mereka sebelum dan selepas lahir, berterusan," katanya.

Jumlah dowri yang ditetapkan oleh kebanyakan komuniti di India tidak kurang daripada '100 sovereign (syiling)' emas, dan apabila seorang anak perempuan dilahirkan, keluarganya mula menabung dengan segera bagi perkahwinannya.

Pelakon Bollywood Aamir Khan dalam rancangan temu bual beliau di televisyen Satyamev Jayate, (Hanya Kebenaran Sahaja Boleh Mengatasi), mendedahkan bahawa sehingga 80 peratus daripada pinjaman bank yang diambil orang ramai adalah untuk memenuhi tuntutan dowri.

Lagipun, tuntutan dowri itu berterusan walaupun selepas perkahwinan yang jika tidak ditunaikan membawa kepada gangguan, penyeksaan mental dan fizikal dan amalan ngeri 'membakar pengantin perempuan'.

"Seorang wanita mati setiap jam di India dalam kejadian yang berkaitan dengan dowri," Aamir mendedahkan dalam rancangan temu bual itu.

Sementara itu, Dr Rizwana Parvin, seorang peguam di Delhi berkata India mempunyai undang-undang yang memadai untuk melindungi wanita tetapi ia tidak dilaksanakan dengan sempurna dan tidak mengambil kira beberapa isu sensitif berhubung kaum hawa.

Dowri sehinggakan dilarang oleh Akta Larangan Dowri 1961 dan Seksyen 498A Kanun Prosedur Jenayah India (IPC) sementara banyak lagi perundangan melindungi wanita daripada keganasan rumahtangga, rogol dan ujian penentuan jantina anak.

Bagaimanapun, kesedaran terhadap undang-undang ini adalah terhad.
Beribu-ribu wanita mati setiap tahun di India berhubung dowri. Kes penyeksaan berhubung dowri adalah tertinggi mewakili 32.4 peratus daripada jenayah terhadap wanita di negara ini.

Antara kes terbaharu adalah seorang wanita muda dibunuh dengan kejam oleh suaminya kerana dowri di Vijapore, sebuah kampung di daerah Navsari, Gujarat dan seorang wanita di Punjab mendakwa beliau diseksa oleh suami dan keluarga mentua kerana melahirkan anak perempuan dan dowri yang diberinya tidak mencukupi.

"Kaum wanita cuba menyelamatkan nyawa dan maruah mereka menerusi bantuan perundangan, media, aktivisme serius dan kesedaran yang lebih tinggi lagi. Walaupun dengan semua ini, India masih tidak dapat mengatasi stigma dowri," katanya.

Menimbulkan kesedaran dalam kalangan gadis-gadis muda, pemuda dan pemimpin tempatan supaya menolak sistem dowri adalah satu lagi kaedah untuk mengatasi masalah itu dari awal lagi.

"Kita perlu menggalakkan orang ramai untuk berfikiran positif, kerana apabila dalam lingkungan sosial yang dipengaruhi agama, kasta dan pandangan sempit, masyarakat terikut-ikut dengan segala kewujudan di dalamnya. Namun apabila kita keluar daripada lingkungan itu, kita akan melihat yang lain juga sebagai manusia," katanya.