Skip to main content

Dunia

Calon pilihan Trump, De la Espriella dahului kiraan undi pilihan raya Presiden Colombia

Presidential candidate Abelardo de la Espriella of the opposition Defenders of the Motherland movement arrives to vote during the runoff election in Barranquilla, Colombia, Sunday, June 21, 2026. ( (AP Photo/Rodrigo Abd)
De la Espriella tampil dengan pendekatan tegas terhadap jenayah dan kumpulan bersenjata, selain berjanji untuk memperhebat tindakan terhadap kartel dadah serta menamatkan rundingan damai dengan pihak pemberontak yang dilihat gagal membendung keganasan. - Gambar AP
Advertisement

BOGOTA: Calon berhaluan kanan yang disokong Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, Abelardo de la Espriella, mendahului kiraan undi dalam pusingan kedua pilihan raya Presiden Colombia yang berlangsung pada Ahad.

Berdasarkan keputusan awal, peguam yang juga figura politik luar arus perdana itu meraih sekitar 49.7 peratus undi, sedikit mengatasi pencabarnya daripada blok kiri, Senator Ivan Cepeda, dalam perlumbaan yang amat sengit.

Jurang undi yang tipis itu mencerminkan perpecahan ketara dalam kalangan pengundi, dengan kedua-dua calon membawa pendekatan berbeza terhadap isu utama termasuk keselamatan, ekonomi serta masa depan proses damai negara.

De la Espriella tampil dengan pendekatan tegas terhadap jenayah dan kumpulan bersenjata, selain berjanji untuk memperhebat tindakan terhadap kartel dadah serta menamatkan rundingan damai dengan pihak pemberontak yang dilihat gagal membendung keganasan.

Beliau turut menerima sokongan terbuka daripada Trump, yang menyifatkannya sebagai pemimpin tegas dan sekutu penting dalam usaha memperkukuh hubungan antara Colombia dan Amerika Syarikat.

Sementara itu, Cepeda yang disokong Presiden semasa Gustavo Petro berkempen dengan janji meneruskan dasar progresif termasuk rundingan damai dengan kumpulan bersenjata, selain melaksanakan reformasi sosial bagi membantu golongan berpendapatan rendah.

Pilihan raya kali ini dilihat sebagai penentu hala tuju Colombia, sama ada meneruskan pendekatan kiri sedia ada atau beralih ke kepimpinan lebih konservatif ketika negara berdepan cabaran peningkatan keganasan dan ketidaktentuan ekonomi.

Pusingan kedua diadakan selepas tiada calon memperoleh majoriti mudah dalam undian pusingan pertama pada Mei lalu, yang menyaksikan De la Espriella muncul sebagai calon paling hadapan.

Dengan majoriti undi hampir selesai dikira, beliau kini berada di landasan kukuh untuk mencatat kemenangan tipis dalam perlumbaan yang disifatkan antara paling sengit dalam sejarah politik moden Colombia. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement