DUNIA
Amaran Macron kepada Israel: "Segera tangani krisis bantuan di Gaza atau Perancis akan kenakan sekatan"

Presiden Macron (kiri) berjabat tangan dengan Perdana Menteri Lawrence pada pertemuan kedua pemimpin itu di Singapura, pada Jumaat. - Gambar Reuters
SINGAPURA: Presiden Perancis, Emmanuel Macron memberi amaran bahawa negaranya mungkin akan mengenakan sekatan terhadap Israel sekiranya Tel Aviv gagal mengambil tindakan segera terhadap krisis kemanusiaan yang semakin parah di Gaza.
Dalam lawatannya ke Singapura pada Jumaat, Macron menegaskan, komuniti antarabangsa tidak boleh terus berdiam diri sementara rakyat Palestin di Gaza berdepan kebuluran yang semakin meruncing.
Kenyataan itu menambah lagi tekanan global terhadap Israel, yang telah menyekat bantuan ke wilayah berkenaan selama hampir tiga bulan.
Agensi bantuan antarabangsa telah memberi amaran bahawa Gaza kini berada di ambang kebuluran.“Sekatan kemanusiaan ini mencipta situasi yang tidak tertanggung di lapangan,” kata Macron dalam sidang media bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong.
“Jika tiada respons dalam beberapa jam atau hari akan datang selaras dengan keperluan kemanusiaan, kita perlu memperkukuh pendirian kolektif,” tambah beliau, sambil memberi isyarat bahawa Perancis mempertimbangkan sekatan terhadap peneroka Israel.
Kementerian Luar Israel dalam reaksinya menafikan dakwaan Macron dan menyifatkannya sebagai “pembohongan terang-terangan”, walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pelbagai organisasi antarabangsa berkali-kali menyatakan bahawa Israel telah menyekat sepenuhnya kemasukan bantuan sejak 2 Mac lalu.
Israel sebelum ini memaklumkan, ia akan membenarkan kemasukan minimum bekalan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza atas tekanan antarabangsa, namun serangan ketenteraan terus dipertingkatkan di wilayah tersebut.
Bantuan yang masuk pula dikawal oleh sebuah pertubuhah bukan kerajaan (NGO) baharu yang mendapat sokongan Israel dan Amerika Syarikat, namun proses agihan turut dicemari insiden pengeboman dan tembakan terhadap rakyat Palestin yang cuba mendapatkan bantuan.
Dalam kenyataannya, Macron turut mempersoalkan andaian bahawa Israel masih mematuhi hak asasi manusia.
“Saya masih berharap kerajaan Israel akan mengubah pendiriannya dan akhirnya memberikan respons kemanusiaan yang sebenar,” katanya.
Presiden Perancis itu turut menekankan bahawa pengiktirafan negara Palestin adalah “bukan sahaja satu kewajipan moral, malah satu keperluan politik.”
Namun begitu, beliau menegaskan, penubuhan negara Palestin perlu dilakukan di bawah syarat-syarat tertentu.
Kenyataan Macron itu hadir selepas pengumuman bersama beliau dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, yang mengecam sebarang rancangan Israel untuk mengambil alih Gaza atau mengusir penduduknya.
Paris kini sedang menggerakkan usaha untuk mendapatkan sokongan terhadap pengiktirafan bersyarat negara Palestin, termasuk tuntutan pelucutan senjata kumpulan Hamas.
Pegawai Perancis dilaporkan sedang mempertimbangkan langkah itu sebelum Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang akan dihoskan bersama oleh Perancis dan Arab Saudi dari 17 hingga 20 Jun ini.
Persidangan itu bertujuan merangka pelan hala tuju bagi penubuhan negara Palestin, sambil menjamin keselamatan Israel.
Bagaimanapun, sesetengah diplomat dan penganalisis memberi amaran bahawa langkah tersebut berisiko mencetuskan kemarahan Israel dan memperdalamkan perpecahan dalam kalangan kuasa Barat.
Krisis kemanusiaan makin kritikal
Walaupun bantuan mula memasuki Gaza secara perlahan selepas sekatan Israel, krisis kemanusiaan di wilayah itu kekal kritikal.
Pakar memberi amaran bahawa satu daripada lima penduduk berdepan kebuluran dalam masa terdekat.
Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), sebuah inisiatif swasta yang disokong Amerika Syarikat dan Israel, mengembangkan operasi bantuannya pada Khamis.
Namun, PBB dan agensi bantuan lain mengkritik usaha GHF sebagai tidak mencukupi, tidak terurus, dan tidak mematuhi prinsip kemanusiaan.
Pusat-pusat GHF menjadi lokasi kekacauan dan keganasan dengan ribuan penduduk yang kelaparan dilaporkan bertempur dengan pasukan keselamatan di pusat agihan bantuan sepanjang minggu ini.
Seorang wartawan Al Jazeera di Gaza melaporkan, beberapa individu cedera akibat tembakan tentera Israel ketika cuba mendapatkan bantuan di pusat agihan yang dikendalikan oleh GHF.
Sementara itu, agensi PBB untuk pelarian Palestin, UNRWA memaklumkan, mereka bersedia menghantar bekalan termasuk makanan, kit kebersihan dan ubat-ubatan dari gudang di Amman, Jordan - hanya beberapa jam dari Gaza sekiranya diberi akses.
Dalam perkembangan berkaitan, rundingan gencatan senjata antara Israel dan kumpulan pejuang Palestin, Hamas, masih diteruskan dengan cadangan baharu daripada Amerika Syarikat.
Namun, Hamas menyatakan, cadangan tersebut masih dalam perbincangan dan dalam bentuk semasa hanya akan membawa kepada “pembunuhan dan kebuluran yang berterusan” di Gaza. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami