INTERNATIONAL
Amaran Trump buat Iran: “Akan berlaku letusan jika terus bangunkan senjata nuklear”

Presiden Trump mengancam Iran dengan serangan bom dan tarif sekunder jika Tehran tidak mencapai persetujuan dengan Washington berhubung program nuklearnya. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Ahad mengancam Iran dengan serangan bom dan tarif sekunder jika Tehran tidak mencapai persetujuan dengan Washington berhubung program nuklearnya.
Dalam kenyataan pertama Trump sejak Iran menolak rundingan langsung dengan Washington minggu lalu, beliau memberitahu NBC News, pegawai AS dan Iran sedang berbincang, tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
“Jika mereka tidak mencapai perjanjian, akan ada pengeboman,” kata Trump dalam wawancara telefon.
“Ia akan menjadi serangan bom yang belum pernah mereka saksikan sebelum ini.”
Beliau juga menambah: “Ada kemungkinan bahawa jika mereka tidak membuat perjanjian, saya akan mengenakan tarif sekunder ke atas mereka seperti yang saya lakukan empat tahun lalu.”
Nada ancaman Trump ini adalah lebih keras berbanding kenyataan beliau beberapa hari sebelum itu, apabila beliau memberi amaran bahawa jika Tehran enggan merundingkan perjanjian nuklear baharu, “perkara buruk, sangat buruk akan berlaku kepada Iran.”
Tidak jelas sama ada ancaman pengeboman itu merujuk kepada serangan oleh pesawat AS sahaja atau melibatkan operasi yang diselaraskan dengan Israel.
Iran telah memberikan maklum balas melalui Oman terhadap surat daripada Trump yang menggesa Tehran supaya mencapai perjanjian nuklear baharu.
Menteri Luar Iran pada Khamis dipetik sebagai berkata, dasar Iran adalah untuk tidak terlibat dalam rundingan langsung dengan AS selagi Washington meneruskan tekanan maksimum dan ancaman ketenteraan terhadapnya.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, pada Ahad mengulangi dasar tersebut.
“Rundingan langsung [dengan AS] telah ditolak, tetapi Iran sentiasa terlibat dalam rundingan tidak langsung dan kini pemimpin tertinggi telah menegaskan rundingan tidak langsung masih boleh diteruskan,” katanya, merujuk kepada Ayatollah Ali Khamenei.
Menteri Luar Israel, Gideon Sa’ar pada hujung bulan lalu dilaporkan berkata, “bagi menghentikan program nuklear Iran sebelum ia mencapai tahap persenjataan, pilihan ketenteraan yang boleh dipercayai perlu ada dalam pertimbangan.”
Penganalisis berkata, Iran mungkin hanya beberapa minggu lagi daripada berupaya menghasilkan senjata nuklear yang boleh digunakan - walaupun Tehran menafikan sedang membina senjata tersebut.
Namun, sebarang serangan ke atas Iran boleh membawa kepada konflik yang lebih meluas.
Dalam temu bual dengan NBC, Trump juga mengancam untuk mengenakan tarif sekunder terhadap Rusia dan Iran.
Beliau baru-baru ini menandatangani perintah eksekutif yang membenarkan tarif sedemikian terhadap pembeli minyak Venezuela.
Bagaimanapun, Trump tidak memberikan butiran lanjut mengenai tarif yang berpotensi dikenakan ke atas Iran dan Rusia. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami