WASHINGTON: Presiden Donald Trump dalam satu temu ramah telefon bersama CNN mendakwa, tentera Amerika Syarikat (AS) sedang “menghentam Iran sehabis-habisnya” – tetapi “gelombang besar” masih belum tiba.
“Kami sedang menghentam mereka sehabis-habisnya,” kata Trump kepada Jake Tapper dari CNN.
Advertisement
“Saya rasa ia berjalan dengan sangat baik. Ia sangat kuat. Kami mempunyai tentera terhebat di dunia dan kami sedang menggunakannya.”
Trump membincangkan pelbagai topik dalam temu ramah itu, termasuk jangkaan tempoh konflik, kejutan beliau terhadap serangan balas besar-besaran Iran dan siapa bakal pengganti kepimpinan negara itu.
Mengenai berapa lama perang mungkin berlarutan, Presiden AS itu berkata: “Saya tidak mahu ia berlarutan terlalu lama. Saya selalu fikir ia akan berlangsung empat minggu. Dan kami sedikit mendahului jadual.”
Apabila ditanya sama ada AS melakukan lebih daripada sekadar serangan ketenteraan untuk membantu rakyat Iran mengambil alih semula negara mereka daripada rejim, Trump berkata, “Ya.”
“Kami memang melakukannya. Tetapi buat masa ini kami mahu semua orang kekal di dalam rumah. Ia tidak selamat di luar.”
Dan keadaan dijangka menjadi lebih tidak selamat, kata Presiden itu.
“Kami belum pun mula menghentam mereka dengan kuat. Gelombang besar itu belum pun berlaku. Yang besar akan datang tidak lama lagi.”
‘Kejutan terbesar’ setakat ini
Setakat ini, kata Presiden, “kejutan terbesar” adalah serangan Iran terhadap negara-negara Arab di rantau itu: Bahrain, Jordan, Kuwait, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu.
“Kami terkejut,” kata Trump.
“Kami beritahu mereka, ‘Kami kendalikan ini,’ dan kini mereka mahu berperang. Dan mereka berperang dengan agresif. Mereka sepatutnya terlibat sedikit sahaja tetapi kini mereka berkeras mahu terlibat.”
Tentang pemimpin-pemimpin Arab pula, Presiden memberitahu CNN, “Saya kenal mereka. Mereka kuat dan bijak.”
Beliau berkata Iran “menembak ke arah sebuah hotel, mereka menembak ke arah sebuah pangsapuri. Ia hanya membuat mereka marah. Mereka sukakan kami, tetapi mereka memerhati. Tidak ada sebab mereka terlibat.”
Tentang serangan Iran ke atas rantau Arab, beliau berkata, “Itu mungkin kejutan terbesar.”
Trump menyatakan bahawa ancaman nuklear Iran telah lama menjadi isu utama di rantau itu.
“Anda perlu faham, mereka hidup di bawah awan gelap itu selama bertahun-tahun. Sebab itu anda tidak pernah boleh mencapai keamanan,” katanya.
Peralihan kepimpinan di Iran
Mengenai siapa yang mungkin muncul sebagai pemimpin Iran seterusnya, Trump berkata: “Kita tidak tahu siapa kepimpinan mereka. Kita tidak tahu siapa yang mereka akan pilih. Mungkin mereka bernasib baik dan mendapat seseorang yang tahu apa yang dia lakukan."
Beliau mendakwa, Iran kehilangan “ramai dari segi kepimpinan” akibat serangan awal.
“Empat puluh sembilan orang,” kata Trump.
“Ia satu serangan yang menakjubkan.” Mereka menjadi sedikit angkuh” dengan berkumpul di satu tempat, tambahnya.
“Mereka fikir mereka tidak dapat dikesan. Mereka salah. Kami terkejut melihatnya.”
Trump berkata tidak jelas siapa yang kini mengetuai negara itu.
“Mereka sendiri pun tidak tahu siapa yang mengetuai mereka sekarang,”
kata Trump. “Kami menyingkirkan 49 pemimpin Iran.”
“Itulah para pemimpin, dan sebahagian daripada mereka sedang dipertimbangkan,” kata Trump. Tetapi dengan 49 orang terbunuh, “kita tidak tahu siapa yang mengetuai negara itu sekarang.
"Mereka pun tidak tahu siapa yang mengetuai. Ia sedikit seperti barisan pengangguran.”
Presiden AS itu berkata, pasukannya cuba berunding dengan Iran tetapi “kami tidak dapat membuat perjanjian dengan mereka.”
Setiap tawaran baharu, katanya, disambut dengan penarikan semula tawaran sebelumnya.
Iran tidak mahu bersetuju untuk menamatkan pengayaan uranium, kata Trump.
“Mereka mempunyai semua bahan diperkaya itu. Mereka melihat kemungkinan melakukannya semula di sana, tetapi ia dalam keadaan sangat teruk, gunung itu hampir runtuh,” kata Trump.
Trump turut mendakwa apa yang dilakukan tenteranya merupakan cara untuk 'menangani Iran.'
Presiden AS itu memaklumkan, beliau meminta pasukannya senarai semua serangan Iran atau proksi Iran terhadap AS dan sekutunya.
Operasi ketenteraan terbaharu ini adalah sebahagian daripada kempen jangka panjang untuk menghapuskan ancaman Iran, kata Trump.
Mengkritik perjanjian nuklear Presiden Barack Obama, Presiden Trump berkata “itu perjanjian yang memberi semua kuasa kepada Iran. Mereka akan mempunyai senjata nuklear tiga atau empat tahun lalu. Mereka mungkin akan menggunakannya terhadap Israel. Mereka mungkin akan menggunakannya terhadap kami.”
“Perjanjian itu sangat teruk,” kata Trump, “ia adalah jalan menuju bom.”
Dalam rundingan terbaharu, Iran “tidak sanggup memberikan apa yang kami minta. Mereka sepatutnya melakukannya.”
“Jadi semuanya berjalan baik,” kata Trump sebelum menamatkan panggilan telefon. - Agensi