KUALA LUMPUR: Pelancaran Bursa Sosial oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) merupakan antara langkah penting untuk memperkukuh sumbangan pasaran modal kepada sektor sosial.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, platform itu memanfaatkan keupayaan sedia ada SC untuk menarik sumbangan daripada syarikat korporat dan menyalurkannya secara lebih tersusun kepada sektor ketiga, khususnya pertubuhan bukan keuntungan.
“Melalui SC dan platform Bursa Sosial ini, sumbangan dapat disalurkan kepada sektor ketiga yang kita kenali sebagai sektor bukan keuntungan, sekali gus mempertingkatkan keberkesanan bantuan kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan platform Bursa Sosial, di sini pada Isnin.
Menurut beliau, inisiatif itu juga membuka ruang kepada kerjasama lebih luas antara pasaran modal dan pelbagai sektor yang menangani cabaran sosial negara.
Chin Tong berkata, Malaysia sebagai sebuah negara dengan populasi muda berdepan keperluan mendesak untuk memastikan generasi muda, khususnya Generasi Z (Gen Z), mempunyai akses kepada peluang pekerjaan, gaji yang berpatutan serta mobiliti sosial yang lebih baik.
“Kita mempunyai populasi yang muda berbanding banyak negara Asia lain, terutama negara Asia Timur Laut.
"Justeru, kita perlu memastikan Gen Z berasa selesa kerana kebimbangan utama mereka adalah berkaitan pekerjaan, gaji dan peluang mobiliti sosial,” katanya.
Beliau berkata, cabaran kedua yang dihadapi negara ialah memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan bagi membolehkan rakyat “menjadi kaya sebelum menjadi tua”, selain memperkukuh kelas menengah dan menyediakan jaringan keselamatan sosial yang mencukupi apabila negara beralih kepada masyarakat menua.
Selain itu, katanya, isu perubahan iklim dan cabaran global lain turut memerlukan pembiayaan besar serta pendekatan seluruh negara.
Mengulas mengenai peranan sektor ketiga, Chin Tong berkata, wujud keperluan untuk meluaskan definisinya supaya merangkumi bukan sahaja organisasi bukan keuntungan, tetapi juga perusahaan sosial yang memberi perkhidmatan awam dengan pendekatan berasaskan keuntungan terkawal.
“Kita lazimnya melihat sesuatu itu secara dikotomi antara sektor awam dan swasta. Namun terdapat banyak perusahaan sosial yang walaupun tidak sepenuhnya bukan keuntungan, masih menyediakan perkhidmatan awam.
“Jika entiti ini dikawal selia dengan baik dan telus, serta tidak hanya mengejar keuntungan luar biasa, kita boleh mengiktirafnya sebagai sebahagian daripada sektor ketiga yang turut memainkan fungsi sosial,” katanya.
Beliau menambah, pendekatan itu mampu mengubah landskap perbahasan dasar dengan menggalakkan pendekatan menyeluruh negara, melibatkan organisasi bukan keuntungan, perusahaan sosial serta entiti lain dalam menangani isu rakyat.
Mengenai peruntukan awal RM2 juta bagi inisiatif berkenaan, Chin Tong berkata kerajaan akan menilai impak pelaksanaan sebelum mempertimbangkan sokongan tambahan pada masa hadapan.
“Kita akan melihat impaknya kerana ini adalah usaha berterusan. Sekiranya kesannya positif, kita boleh pertimbangkan langkah lanjut,” katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan kejayaan Bursa Sosial bukan diukur melalui impak kepada pasaran modal semata-mata, tetapi bagaimana pasaran tersebut dapat memberi sumbangan kepada sektor sosial.
Katanya, platform yang dikawal selia itu juga meningkatkan ketelusan dan kepercayaan berbanding pendekatan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan secara individu oleh syarikat.
“Isu paling penting adalah kepercayaan. Platform ini mewujudkan ketelusan dan keyakinan, sekali gus membolehkan syarikat melaksanakan tanggungjawab sosial mereka dengan lebih berkesan sambil memenuhi tanggungjawab kepada pemegang saham,” katanya.