DUNIA
Jepun, AS keluar amaran tsunami selepas gempa bumi 8.7 magnitud gegar Rusia

Kerajaan Jepun mengarahkan pemindahan segera penduduk di kawasan pesisir Pasifik ke lokasi lebih tinggi atau bangunan selamat. - Foto Japan Meteorological Agency
JEPUN dan Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan amaran tsunami selepas gempa bumi kuat berukuran 8.7 magnitud menggegarkan Semenanjung Kamchatka, Rusia pada Rabu.
Ringkasan AI
- Gempa bumi kuat berukuran 8.7 magnitud menggegarkan Semenanjung Kamchatka, Rusia, dan mencetuskan amaran tsunami di Jepun dan Amerika Syarikat, termasuk Alaska, Hawaii dan Guam.
- Jepun dan Hawaii mengarahkan pemindahan segera penduduk di kawasan pantai berisiko, dengan jangkaan gelombang tsunami setinggi tiga meter boleh melanda beberapa kawasan.
- Pihak berkuasa mengesahkan tsunami setinggi 34 meter telah berlaku di Kamchatka, dan gempa tersebut dianggap paling kuat dalam beberapa dekad menurut Gabenor Kamchatka.
“Gelombang tsunami dijangka berulang. Jangan tinggalkan kawasan tinggi sehingga amaran ditarik balik,” menurut kenyataan rasmi kerajaan Jepun.
Perdana Menteri Shigeru Ishiba berkata pihak berkuasa sedang menilai situasi dan memberi jaminan bahawa sebarang usaha bantuan akan mengutamakan keselamatan nyawa.
Amaran tsunami juga dikeluarkan untuk Alaska, Hawaii dan Guam oleh Pusat Amaran Tsunami Pasifik AS yang berpangkalan di Honolulu.
Gelombang setinggi tiga meter dijangka melanda Hawaii, manakala gelombang setinggi satu hingga tiga meter (3.3 hingga 10 kaki) boleh mengancam wilayah Guam.
Di Hawaii, pihak berkuasa mengarahkan “pemindahan segera” kawasan besar di pulau Oahu termasuk ibu negeri Honolulu.
“Bertindak sekarang! Gelombang tsunami pemusnah dijangka melanda,” kata Jabatan Pengurusan Kecemasan Honolulu melalui media sosial.
Sementara itu, pegawai Rusia mengesahkan tsunami dengan ketinggian tiga hingga empat meter telah direkodkan di sebahagian kawasan Semenanjung Kamchatka.
“Gempa bumi hari ini adalah yang paling kuat dalam beberapa dekad,” kata Gabenor Kamchatka, Vladimir Solodov, menerusi video di aplikasi Telegram.
Menurut data Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi itu berlaku kira-kira 78 batu (126 kilometer) dari Petropavlovsk-Kamchatsky pada kedalaman 18 kilometer.
Amaran tsunami melibatkan pantai barat Amerika dijangka antara jam 2.40 dan 4.05 petang waktu Malaysia.
Ia melibatkan Port Angeles, Astoria, Gold Beach, Eureka, San Francisco, Malibu & San Diego. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami