DUNIA
Jepun negara terkini tarik balik amaran tsunami yang dicetuskan gempa bumi Pasifik

Agensi Meteorologi Jepun menurunkan tahap amaran ke paras paling rendah pada petang Rabu. - Gambar fail/AP
TOKYO: Amaran tsunami di pesisir Jepun ditarik balik beberapa jam selepas gempa bumi besar melanda pesisir Semenanjung Kamchatka, Rusia, awal pagi Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Agensi Meteorologi Jepun menurunkan tahap amaran ke paras paling rendah pada petang Rabu, menurut penyiar tempatan NHK, selepas pihak berkuasa sebelum itu memberi amaran mengenai gelombang ombak berpotensi setinggi tiga meter.
Penduduk di sepanjang pantai Pasifik Jepun, bagaimanapun diminta terus berwaspada, selepas ombak setinggi 1.3 meter direkodkan di beberapa kawasan. Lebih dua juta orang terlibat dalam arahan pemindahan.
Gempa bumi besar mencetuskan amaran tsunami kepada jutaan orang di seluruh rantau Pasifik, termasuk di Rusia, Amerika Syarikat dan Mexico.Namun, beberapa jam selepas gempa menggegarkan Timur Jauh Rusia, tiada laporan kerosakan besar pada Rabu. Di banyak kawasan, amaran tsunami ditarik balik atau diturunkan tahapnya.
Gempa bumi utama berlaku kira-kira 11:24 pagi waktu tempatan (2324 GMT Selasa) dan dicatatkan oleh Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) pada magnitud 8.8 - menjadikannya gempa bumi terkuat di dunia sejak bencana Fukushima di Jepun pada Mac 2011 dan antara enam gempa bumi paling kuat pernah direkodkan. Pihak berkuasa Rusia melaporkannya pada magnitud 8.7.
Menurut Akademi Sains Rusia, ini adalah gempa bumi paling kuat yang melanda Kamchatka sejak 1952. Pusat gempa berada di laut terbuka, kira-kira 130 kilometer dari pantai yang jarang didiami.
Beberapa gempa susulan direkodkan di rantau berkenaan, menurut USGS.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami