WASHINGTON: Masyarakat antarabangsa harus mengambil tindakan segera bagi mencegah krisis kemanusiaan di Afghanistan.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bimbang mengenai kelangsungan dan nasib rakyat di Afghanistan sejak ia terputus bekalan daripada komuniti antarabangsa.

IMF, jelasnya, bersedia bekerjasama untuk menggerakkan tindakan segera bagi menghentikan krisis kemanusiaan.

Jurucakap IMF, Gerry Rice turut beri bayangan bahawa ia akan menyokong aliran pengiriman wang dan pemindahan skala kecil ke Afghanistan.

Namun, jelasnya, IMF tidak dapat menjalinkan hubungan terus dengan Afghanistan sehingga komuniti antarabangsa mengiktiraf pentadbiran negara itu.

Sejak kerajaan di Kabul dikuasai Taliban, IMF dan Bank Dunia menggantung bantuan serta rizab baharu yang mencecah AS$340 juta yang dikeluarkannya bulan lalu.

Washington juga menyekat akses rizab Afghanistan bernilai AS$9 bilion yang berada di luar negara.

Ia menyebabkan negara Asia Selatan itu berdepan dengan masalah kewangan.