NEW YORK: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ‘menyerang’ penggantinya iaitu Presiden terkini AS, Joe Biden, dengan kata-kata “negara itu bakal ke neraka".

Kenyataan keras itu dibuat beberapa jam selepas Trump didakwa atas pertuduhan membayar wang secara senyap kepada bintang filem lucah, lapor NDTV.

"Sementara rakyat sedang melalui fasa paling gelap dalam sejarah Amerika, saya boleh mengatakan bahawa sekurang-kurangnya buat masa ini, saya sangat bersemangat.

"Negara kita 'akan masuk neraka'. Dunia sudah mentertawakan kita... kerana pembukaan sempadan kita... dan pengunduran tentera AS dari Afghanistan," tambah pemimpin Republikan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan Trump yang mengaku tidak bersalah atas 34 pertuduhan jenayah ketika berucap di hadapan penyokongnya dan media dari Mar-a-Lago, kediamannya di Florida.

"Saya tidak pernah terfikir perkara seperti ini boleh berlaku di Amerika… tidak pernah terfikir ia boleh berlaku.

"Satu-satunya 'jenayah' yang saya lakukan ialah mempertahankan negara kita tanpa rasa takut daripada pihak yang cuba memusnahkannya," katanya.

Dalam pada itu, Trump yang juga pencabar utama dalam persaingan bagi calon Republikan 2024, mendakwa bahawa pendakwa raya 'berhaluan kiri radikal' di seluruh negara sedang berusaha untuk memastikan dirinya bersalah dalam apa jua cara sekalipun.

Dalam ucapannya, Trump turut menyenaraikan beberapa rungutannya terhadap pentadbiran semasa.