Skip to main content

Malaysia

TVET perlu diperkukuh badan akreditasi khas, penuhi standard industri - Zahid

[TB]_Zahid Hamidi_ASTRO AWANI Wiffiy Nor Azmi
Ahmad Zahid bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Forum Industri Berimpak Tinggi, anjuran Badan Penyelarasan TVET Kerajaan-Industri (GITC)-Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) di sini, pada Sabtu. - Gambar/ Astro AWANI/ Wiffiy Nor Azmi

PUTRAJAYA: Pengiktirafan terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diperkukuhkan menerusi penubuhan Badan Pensijilan dan Pengiktirafan TVET
bagi memastikan program yang ditawarkan memenuhi standard industri serta keperluan tenaga kerja masa depan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ketika ini sistem akreditasi negara dikendalikan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang memberi tumpuan kepada bidang akademik, manakala Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) memfokuskan kepada bidang kemahiran.

“Kita yakin dengan MQA sekarang ini dan peranannya sangat baik untuk bidang akademik.

“Namun bagi TVET, kita memerlukan satu badan khusus yang dapat memberi tumpuan kepada akreditasi dan pengiktirafan program TVET mengikut keperluan industri.

“Jadi saya  mencadangkan sebuah badan akreditasi khas untuk TVET. MQA di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi memberikan tumpuan kepada bidang akademik, manakala JPK di bawah Kementerian Sumber Manusia memberikan tumpuan kepada bidang kemahiran.

“Dengan kewujudan 1,395 institusi TVET di negara ini, adalah lebih baik jika akreditasi dilaksanakan oleh sebuah badan khusus tanpa mengganggu proses akreditasi yang sedang dilakukan oleh MQA dan JPK,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Forum Industri Berimpak Tinggi, anjuran Badan Penyelarasan TVET Kerajaan-Industri (GITC)-Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) di sini, pada Sabtu.

Ahmad Zahid berkata, model berkenaan selaras dengan amalan negara-negara maju yang mempunyai badan akreditasi berasingan bagi memastikan standard pendidikan teknikal dan vokasional sentiasa relevan dengan keperluan industri.

Beliau berkata, sudah membincangkan perkara itu bersama Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Setiausaha kementerian berkaitan bagi melihat kaedah terbaik merealisasikannya. 

Dalam masa sama, beliau menjelaskan penubuhan badan berkenaan tidak semestinya memerlukan penambahan tenaga kerja baharu kerana kepakaran sedia ada dalam MQA dan JPK boleh dimanfaatkan bagi mengendalikan aspek akreditasi TVET.

Mengulas mengenai keperluan tenaga kerja mahir, Ahmad Zahid berkata Malaysia perlu memperkukuh kerjasama dengan industri dan pelabur asing bagi memastikan kursus TVET yang ditawarkan benar-benar memenuhi kehendak pasaran pekerjaan.

“Ketika ini, pelaburan langsung asing (FDI) amat memerlukan tenaga kerja teknikal. Justeru, kita perlu melibatkan pihak industri secara langsung supaya kursus yang ditawarkan memenuhi keperluan mereka, bukannya berdasarkan apa yang kita fikir perlu.

“Pendekatan ini amat penting bagi memastikan keseimbangan antara penawaran dan permintaan tenaga kerja dalam negara,” katanya.

 

[BERITA LANJUT MENYUSUL]

Must Watch Video

Advertisement