DUNIA
AMM ke-58 saksi Malaysia himpun kuasa besar dunia di Kuala Lumpur

Malaysia menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dengan penyertaan lebih 35 negara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ketika Malaysia bersiap menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan bermula 8 Julai ini, ibu negara sudah mula sibuk dengan jangkaan diplomatik.
Ringkasan AI
- Malaysia menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dengan penyertaan lebih 35 negara, termasuk kuasa besar dunia, mencerminkan peranan aktif dan dipercayai Malaysia dalam diplomasi serantau dan global.
- Mesyuarat ini berlangsung dalam konteks geopolitik dan ekonomi yang mencabar, termasuk ketegangan perdagangan AS-China, menjadikan AMM platform penting untuk membincangkan isu keselamatan, ekonomi dan pembangunan mampan secara kolektif.
- Penganjuran CEAPAD IV di sela-sela AMM menambah nilai kepada sidang ini, menunjukkan komitmen Malaysia terhadap isu kemanusiaan global seperti Palestin, serta pendekatan diplomatik inklusif yang memperkukuh kedudukan Malaysia di pentas antarabangsa.
Walaupun platform global seperti Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) menarik kehadiran lebih ramai pemimpin setiap tahun, AMM kekal sebagai forum diplomatik pelbagai hala paling penting di Asia Tenggara.
Tidak seperti Mesyuarat Menteri-Menteri Luar G20 yang berskala lebih kecil tetapi memfokuskan kepada tadbir urus ekonomi global, AMM menghimpunkan lebih banyak negara dalam satu platform tersusun berteraskan pembinaan konsensus, kestabilan serantau dan kerjasama inklusif.
Pada masa jurang geopolitik semakin melebar dan multilateralisme berdepan tekanan, kejayaan Malaysia menghimpunkan penyertaan peringkat tinggi ini mencerminkan kedudukannya sebagai kuasa pertengahan yang diyakini dan penganjur yang berwibawa.
Malaysia bukan asing dalam diplomasi antarabangsa yang proaktif. Sumbangannya meliputi misi pengaman, memperjuangkan hak rakyat Palestin, menjulang kerjasama Selatan-Selatan serta menggesa penamatan konflik di seluruh dunia.
Menambah keperluan mendesak kepada mesyuarat tahun ini ialah ketidaktentuan ekonomi global susulan tarikh akhir 9 Julai bagi tempoh bertenang tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS) yang akan berakhir.
Sekiranya Washington memutuskan untuk mengenakan semula tarif balas yang tinggi, khususnya terhadap barangan China, kesannya boleh mencetuskan semula ketegangan perdagangan dan mengancam ekonomi serantau yang bergantung kepada eksport termasuk Malaysia, sekali gus mengganggu susunan perdagangan antarabangsa.
Namun, dengan kuasa besar seperti AS dan China hadir AMM, sidang kemuncak ini menawarkan ruang terbaik bagi pemimpin ASEAN menyuarakan kebimbangan secara kolektif dan merangka strategi mengurangkan kesan buruk yang mungkin timbul.
Menurut Felo Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun, Malaysia memainkan peranan penting dalam dunia yang semakin berpecah-belah hari ini.
"Kita hidup dalam dunia yang sangat berpolar dan semakin penting untuk kuasa pertengahan seperti Malaysia mengimbangi kepentingan nasionalnya dengan kebaikan bersama untuk dunia," katanya kepada Bernama.
Bagi Oh, mesej utama daripada perhimpunan ini jelas -- keamanan dan kemakmuran.
"Di peringkat serantau ini, kita berdepan beberapa krisis berterusan atau yang sedang membayangi, seperti situasi di Myanmar dan ketegangan antara Thailand dan Kemboja. Dalam masa sama, kita adalah rantau yang paling pesat berkembang di dunia. Kita perlu meneroka bagaimana kita boleh berinteraksi dengan lebih baik dengan kuasa besar dan menjadi contoh kepada negara kurang membangun," katanya.
Pendekatan diplomasi Malaysia kelihatan telah berjaya menarik minat, baik di peringkat serantau mahupun global.
Keupayaannya menarik penyertaan pelbagai negara ke AMM mencerminkan kesinambungan relevansi ASEAN serta komitmen Malaysia terhadap penglibatan yang bermakna.
Meningkatkan lagi prestij penganjuran tahun ini, Persidangan Keempat Kerjasama Negara-Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD IV) yang diadakan di sela-sela AMM.
Sidang itu, yang dipengerusikan bersama dengan Jepun dan Palestin, dijangka membincangkan usaha berterusan bagi menyokong pemulihan dan pembangunan Gaza serta Palestin, dengan harapan dapat mencapai konsensus untuk menghentikan keganasan Israel terhadap rakyat Palestin yang tidak berdaya.
Kehadiran begitu banyak negara di Kuala Lumpur bukan sahaja menekankan kepentingan mesyuarat ASEAN tetapi juga kedudukan Malaysia sebagai tuan rumah yang merapatkan kepentingan yang berbeza dalam mencapai matlamat bersama.
Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin berkata keupayaan Malaysia menarik penyertaan yang meluas tahun ini mencerminkan harapan tinggi yang diletakkan terhadap Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia sejak Januari lalu.
"Seperti yang disebutkan di awal tahun, sebaik sahaja Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN, terdapat harapan yang tinggi dalam kalangan rakan-rakan ASEAN dan juga rakan dialog supaya kerjasama ASEAN serta hubungan dengan pihak luar terus diperkukuhkan," katanya pada sidang media sempena AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan di sini.
Amran menjelaskan bahawa penyertaan menteri-menteri luar negara bukan sekadar rutin, tetapi didorong oleh minat tulen terhadap penganjuran dan kepimpinan Malaysia tahun ini.
Dengan kehadiran rakan utama seperti AS, China, Jepun, India, Kesatuan Eropah dan Korea Selatan, AMM menjadi platform penting untuk membincangkan isu utama termasuk keselamatan serantau, ketahanan ekonomi dan pembangunan mampan.
Malaysia bukan sahaja menjadi tuan rumah tetapi membentuk naratif serantau dengan pendekatan inklusif dan seimbang, berlandaskan prinsip pemusatan ASEAN serta keterbukaan kepada kerjasama lebih luas.
Ketika dunia memerhati, AMM ke-58 bukan sekadar perhimpunan diplomatik. Ia adalah saat Malaysia menegaskan kembali relevansinya di pentas global, merapatkan jurang serantau dan memimpin dengan tujuan untuk mencapai keamanan dan kemakmuran.
-- BERNAMA
Dapatkan berita ASEAN 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami