GENEVA: Amnesty International menggesa Israel segera membebaskan dua aktivis, Saif Abu Keshek dan Thiago Avila, yang ditahan selepas kapal Global Sumud Flotilla dipintas oleh tentera Israel di perairan antarabangsa minggu lalu.
Dalam kenyataannya, Amnesty menyatakan kedua-dua aktivis itu berdepan risiko tinggi pencabulan hak asasi manusia, termasuk kemungkinan penyeksaan dan layanan buruk, berdasarkan pengalaman kes-kes terdahulu melibatkan aktivis flotila yang ditahan pada Oktober 2025.
Pertubuhan itu turut menzahirkan kebimbangan khusus terhadap Abu Keshek, seorang warga Palestin yang memiliki kerakyatan Sepanyol dan Sweden, yang ditahan atas dakwaan mempunyai kaitan dengan organisasi pengganas, sesuatu yang menurut Amnesty berkait dengan undang-undang diskriminasi serta layanan terhadap rakyat Palestin.
Amnesty menegaskan Israel perlu memastikan keselamatan kedua-dua individu tersebut sepanjang dalam tahanan, selain mendesak pembebasan segera mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan hak asasi Israel, Adalah, memaklumkan Mahkamah Daerah Beersheba telah menolak rayuan untuk membebaskan kedua-dua aktivis berkenaan, sebaliknya melanjutkan tahanan mereka sehingga Ahad.
Insiden itu menambah ketegangan berhubung usaha kemanusiaan ke Gaza, dengan kumpulan hak asasi terus mengkritik tindakan Israel terhadap aktivis antarabangsa yang menyertai misi flotila.