GAZA: Pertubuhan hak asasi manusia global, Amnesty International, mengutuk sekeras-kerasnya ketetapan terbaharu kabinet Israel yang mengklasifikasikan layang-layang kertas serta belon yang diterbangkan di Semenanjung Gaza sebagai dron ketenteraan.
Dalam kenyataan yang dipetik media antarabangsa, pertubuhan hak asasi manusia itu berkata langkah sedemikian hanya akan terus menjejaskan kehidupan kanak-kanak di wilayah berkenaan yang telah terkesan akibat konflik berpanjangan.
Amnesty International berkata kanak-kanak di Gaza secara berterusan berdepan pelbagai kekangan yang menafikan hak mereka untuk menikmati zaman kanak-kanak seperti biasa.
Pertubuhan itu turut menggesa komuniti antarabangsa meningkatkan usaha bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa serta perlindungan orang awam di Gaza.
Kenyataan itu dibuat susulan amaran Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, bahawa pihak berkuasa Israel akan mengambil tindakan terhadap kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi penerbangan layang-layang, dron atau belon dari Gaza.
Menurut laporan media antarabangsa, Katz berkata layang-layang dan belon akan dilayan seperti dron, sambil memberi amaran bahawa tindakan ketenteraan boleh dipertingkatkan terhadap kawasan yang terlibat.
Pemimpin Israel juga dilaporkan mengancam untuk mengosongkan kawasan tertentu di Gaza sekiranya penerbangan objek berkenaan diteruskan.