DUNIA
Anak muda berdemo tuntut reformasi kesihatan, pendidikan ditahan di Maghribi

Anggota pasukan keselamatan berkawal sambil menghalang tunjuk perasaan menuntut reformasi dalam sektor pendidikan dan kesihatan daripada berlangsung di Rabat, Maghribi, pada Isnin. - Gambar Reuters
RABAT: Kehadiran pasukan keselamatan yang ketat sekali lagi berjaya menggagalkan demonstrasi anak muda di beberapa bandar utama Maghribi pada Isnin malam, masuk hari ketiga berturut-turut.
Protes yang digerakkan oleh kumpulan anak muda tanpa identiti jelas yang menamakan diri mereka “GenZ 212” itu dianjurkan menerusi platform digital termasuk TikTok, Instagram dan aplikasi permainan Discord.
Tuntutan mereka jelas - memperbaiki sistem kesihatan awam dan pendidikan negara.
Namun, pihak berkuasa bertindak menahan puluhan peserta protes di Rabat, Casablanca, Agadir, Tangier dan Oujda.Seorang saksi Reuters di Rabat melaporkan, pegawai berpakaian biasa menahan remaja yang cuba melaungkan slogan atau bercakap kepada media.
Presiden sebuah persatuan perlindungan kanak-kanak, Najat Anouar, turut ditahan ketika memberi kenyataan kepada media sebelum dibebaskan dua jam kemudian.
“Saya hadir untuk menyiasat dakwaan bahawa remaja bawah umur ditahan, tetapi akhirnya saya sendiri ditahan,” katanya.
Sekumpulan kecil penunjuk perasaan di pusat bandar Rabat sempat melaungkan “kebebasan, maruah dan keadilan sosial,” slogan yang mengimbau kembali protes besar pada 2011 yang membawa kepada pindaan perlembagaan negara itu.
“Kami mahu sistem kesihatan yang lebih baik dan kebertanggungjawaban,” kata Brahim, 25, sebelum melarikan diri apabila polis cuba menghalang lebih ramai daripada menyertai himpunan tersebut.
Pada malam Ahad di Casablanca, penunjuk perasaan sempat menutup sebahagian lebuh raya utama, manakala di Agadir, rakaman video tular di media sosial menunjukkan pihak polis menyuraikan pelajar berhampiran kampus universiti.
Gelombang kemarahan anak muda ini tercetus selepas demonstrasi awal di Agadir berhubung keadaan hospital yang daif, sebelum merebak ke bandar-bandar lain. Mereka mengecam kekurangan rawatan, fasiliti yang tidak mencukupi dan sumber perubatan yang amat terhad.
Menurut agensi statistik negara itu, kadar pengangguran di Morocco kini mencecah 12.8 peratus, manakala pengangguran belia melonjak kepada 35.8 peratus, termasuk 19 peratus dalam kalangan graduan. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami