Skip to main content

Bisnes

Maxis raih anugerah teknologi bagi inisiatif perintis banteras penipuan BTS palsu

Sumber: Maxis
Menurut Maxis, MCMC menyambut baik usahanya membendung penipuan BTS palsu dan menekankan bahawa inovasi yang diterajui industri penting dalam menangani ancaman baharu. - Foto Maxis

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd (Maxis) memenangi kategori Telekomunikasi-Digital pada Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia (MTEA) 2026 bagi platform Papan Pemuka Pengesanan Stesen Pemancar Pangkalan (BTS) Palsunya pada Khamis lepas.

Maxis dalam satu kenyataan memaklumkan platform tersebut mengesan ancaman daripada BTS tidak sah, atau palsu, dengan menyediakan maklumat kritikal bagi menyokong tindakan oleh pihak pengawal selia. 

Advertisement

Menurut kenyataan itu, pihak penipu menggunakan peralatan haram ini untuk meniru menara rangkaian yang sah, seterusnya memperdaya peranti mudah alih berhampiran agar bersambung dengannya yang berpotensi mendedahkan pengguna kepada pesanan khidmat ringkas (SMS) penipuan dan gangguan perkhidmatan setempat.

“Papan pemuka BTS palsu Maxis ini mengintegrasikan analitik data termaju untuk memantau dan mengenal pasti anomali rangkaian secara berterusan. Platform ini yang dibangunkan secara dalaman amat adaptif bagi memastikan ia dapat membanteras taktik penipuan yang baharu dan sentiasa berubah.

“Langkah ini membolehkan pembezaan yang lebih jelas antara isu rangkaian rutin dan aktiviti berniat jahat, di samping menyokong pengawal selia dan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk mengambil tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Menurut Maxis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyambut baik usahanya membendung penipuan BTS palsu dan menekankan bahawa inovasi yang diterajui industri penting dalam menangani ancaman baharu.

Keupayaan pemantauan rangkaian yang dipertingkatkan menyokong pengesanan pemancaran haram dengan lebih pantas, membolehkan tindakan penguatkuasaan yang berkesan dan memperkukuh perlindungan untuk rakyat Malaysia terhadap risiko penipuan yang sentiasa berubah, menurut kenyataan itu.

Sementara itu, ketua pegawai rangkaian Maxis Yap Chee Sun berkata keupayaan dalaman ini memperkukuh kebolehan syarikat itu untuk bertindak balas dengan pantas dan menyokong tindakan penguatkuasaan oleh MCMC dan pihak berkuasa.

“Memandangkan landskap ancaman terus berubah, pendekatan kami terhadap keselamatan rangkaian juga mesti berubah seiring dengannya.

“Kami berbesar hati dengan pengiktirafan ini yang memperkukuh komitmen kami untuk menyediakan rangkaian yang pantas, diyakini dan selamat, agar pelanggan kami dapat terus berhubung dengan lebih yakin," katanya.

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan ini melengkapkan inisiatif menyeluruh Maxis untuk meningkatkan keselamatan rangkaian dengan memperkukuh perlindungan rangkaian sedia ada dan akan terus bekerjasama rapat dengan pihak penguatkuasaan, selaras dengan usaha nasional untuk membanteras penipuan digital.

-- BERNAMA 

 

 

Must Watch Video