SEOUL: Anak perempuan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, berkemungkinan besar bakal penggantinya, kata agensi perisik Korea Selatan.

Ini adalah kali pertama Perkhidmatan Perisikan Negara mengiktiraf Kim Ju Ae sebagai waris Kim.

Bagaimanapun, NIS berkata bahawa pihak mereka masih mempertimbangkan "semua kemungkinan" dalam rancangan pewarisan kepimpinan Pyongyang.

Ju Ae berjaya mengekalkan profil tinggi sejak pertama kali muncul di khalayak ramai pada akhir 2022.

"Berdasarkan analisis menyeluruh aktiviti awam dan tahap penghormatan terhadap Kim Ju Ae sejak penampilan awalnya di khalayak ramai, pada masa ini, dia nampaknya pengganti yang paling berkemungkinan," kata NIS.

"Tetapi kami terbuka terhadap semua kemungkinan kerana Kim Jong Un masih muda, tidak mempunyai masalah kesihatan yang serius, dan banyak boleh berlaku."

Ju Ae dianggap sebagai anak kedua tertua pemimpin Korea Utara itu dan dipercayai berusia kira-kira 10 tahun.

Ju Ae kini dirujuk sebagai anak perempuan yang "dihormati", dan bukannya anak "tersayang", seperti ketika dia mula diperkenalkan semasa penampilan terbuka pertamanya pada November 2022.

Perkataan "dihormati" dikhaskan untuk penduduk Korea Utara yang paling dihormati. Dalam kes Kim, beliau dirujuk sebagai "yang dihormati" hanya selepas statusnya sebagai pemimpin benar-benar kukuh.

Rakyat Korea Utara percaya keluarga Kim berasal dari garis keturunan mulia, bermakna hanya keluarga mereka yang boleh memimpin negara.

Kali pertama kewujudan Ju Ae disebut adalah pada 2013, selepas bintang bola keranjang Amerika Syarikat, Dennis Rodman membuat lawatan kontroversi ke Korea Utara.

Rodman berkata dia meluangkan masa bersama keluarga Kim, berehat di tepi laut "bersama bayi mereka".

Pemimpin Korea Utara itu sangat berahsia tentang keluarganya, malah isterinya, Ri Sol Ju juga dirahsiakan sehingga selepas beberapa tahun mereka berkahwin.