TEHRAN: Siasatan oleh The New York Times mencadangkan bahawa serangan yang mengorbankan sekurang‑kurangnya 165 murid perempuan dan staf di sebuah sekolah rendah di bandar Minab, selatan Iran, kemungkinan besar dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS).
Laporan itu berpandukan analisis imejan satelit, rakaman video dan catatan media sosial yang menunjukkan bangunan sekolah berkenaan musnah akibat satu serangan tepat pada masa yang hampir serentak dengan serangan terhadap kemudahan tentera laut milik Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) yang terletak bersebelahan.
Advertisement
Majlis pengebumian besar‑besaran telah diadakan bagi 165 mangsa, kebanyakannya murid perempuan berusia tujuh hingga dua belas tahun.
Setakat ini, tiada mana-mana pihak, termasuk AS dan Israel, mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.
Pegawai AS hanya menyatakan bahawa mereka sedang “menyemak laporan mengenai kemungkinan kematian orang awam”.
Menurut laporan The New York Times, kenyataan pegawai AS mengenai siri serangan terhadap sasaran tentera laut Iran di sekitar Selat Hormuz menunjukkan AS merupakan pihak paling berkemungkinan menjalankan serangan tersebut.
Ini diperkukuhkan oleh pengakuan Jeneral Dan Caine, Pengerusi Ketua Turus Bersama, yang mengesahkan bahawa tentera AS sedang melancarkan serangan ke atas sasaran di selatan Iran pada waktu itu.
Peta yang dipaparkan dalam taklimat media turut menunjukkan kawasan sekitar Minab termasuk dalam zon serangan awal.
Laporan yang sama juga menyatakan bahawa pasukan Israel pada waktu serangan berlangsung dipercayai beroperasi jauh di utara Iran, sekali gus mengurangkan kemungkinan penglibatan Israel dalam insiden berkenaan.
Serangan tragis yang menimpa sekolah Shajareh Tayyebeh itu berlaku pada jam persekolahan biasa, ketika pelajar sedang berada di dalam kelas.
Insiden ini kini menjadi antara serangan paling dahsyat melibatkan orang awam sejak permulaan perang AS‑Israel terhadap Iran pada 28 Februari lalu.