Skip to main content

Dunia

Ancaman bom palsu ganggu puluhan penerbangan Eropah buat kali kedua minggu ini

Penumpang turun dari pesawat Aer Lingus Airbus A320 di pangkalan udara tentera Evreux, Perancis, selepas penerbangan dari Dublin ke Rom dilencongkan berikutan ancaman bom. - Foto REUTERS
Penumpang turun dari pesawat Aer Lingus Airbus A320 di pangkalan udara tentera Evreux, Perancis, selepas penerbangan dari Dublin ke Rom dilencongkan berikutan ancaman bom. - Foto REUTERS

Ringkasan AI

  • Sekurang-kurangnya 21 pesawat dan beberapa lapangan terbang di Eropah menerima ancaman bom palsu pada Khamis, menyebabkan gangguan penerbangan dan operasi keselamatan.
  • Penerbangan ke Austria, Belgium, Bulgaria, Republik Czech, Perancis, Itali, Poland dan Romania terjejas, namun tiada bahan letupan ditemui setakat ini.
  • Pihak berkuasa masih menyiasat kaitan antara ancaman yang didakwa dihantar kumpulan "Fighters of the Male State" dan menegaskan semua ancaman diambil serius.
Advertisement

LONDON: Sekurang-kurangnya 21 pesawat dan beberapa lapangan terbang di seluruh Eropah menjadi sasaran ancaman bom palsu pada Khamis, dalam insiden kedua seumpamanya minggu ini yang mencetuskan gangguan penerbangan dan operasi keselamatan di beberapa negara, lapor BBC.

Penerbangan ke Austria, Belgium, Bulgaria, Republik Czech, Perancis, Itali, Poland dan Romania terkesan selepas pihak berkuasa menerima ancaman yang kemudiannya didapati tidak mempunyai asas.

Antara insiden yang dilaporkan ialah sebuah pesawat Aer Lingus dari Dublin ke Rom yang terpaksa dilencongkan ke sebuah pangkalan udara di Perancis, manakala sebuah penerbangan Finnair dari Helsinki ke Rom diiringi jet pejuang Tentera Udara Itali sebagai langkah berjaga-jaga.

Advertisement

Lapangan Terbang Heathrow dan Birmingham di United Kingdom turut menerima ancaman serupa, namun pihak berkuasa menilai ia tidak kredibel.

Setakat ini, pemeriksaan ke atas pesawat dan bagasi tidak menemukan sebarang bahan letupan, manakala pihak berkuasa masih menyiasat sama ada semua ancaman itu mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Advertisement

Menurut media Itali, ancaman berkenaan dihantar menerusi e-mel yang didakwa ditandatangani oleh kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai "Fighters of the Male State".

Kumpulan itu mendakwa mahu menyasarkan apa yang digelar sebagai "rejim feminis" dan mengugut untuk mencetuskan letupan di udara.

Menteri Pengangkutan Britain, Heidi Alexander, menyifatkan ancaman tersebut sebagai "tipuan berniat jahat" tetapi menegaskan kerajaan tetap mengambilnya dengan serius.

Pakar keselamatan penerbangan dari Universiti Coventry, Philip Baum, berkata ancaman palsu yang berulang boleh menyebabkan pihak berkaitan menjadi lalai sehingga ancaman sebenar berisiko terlepas pandang.

Ini merupakan kali kedua dalam tempoh seminggu ancaman bom palsu mengganggu penerbangan di Eropah.

Dua hari lalu, tujuh penerbangan diperiksa selepas menerima ancaman serupa, manakala pada Isnin sebuah pesawat Wizz Air dari London ke Sofia turut diiringi jet pejuang Hungary selepas ancaman bom diterima ketika dalam penerbangan.

Menurut pakar, walaupun kebanyakan ancaman itu dipercayai palsu, prosedur keselamatan menghendaki setiap ancaman dianggap serius sehingga siasatan selesai dijalankan, menurut BBC.

 

 

Must Watch Video

Advertisement