Ringkasan AI
- Kualiti udara di New Delhi merosot ke paras berbahaya pada awal musim sejuk, menimbulkan risiko kesihatan kepada jutaan penduduk.
- Punca utama pencemaran termasuk pembakaran sisa tanaman, pelepasan asap kenderaan, aktiviti industri dan keadaan cuaca yang memerangkap bahan pencemar.
- Pakar mengkritik langkah kerajaan sebagai bersifat sementara dan menegaskan perlunya kerjasama menyeluruh untuk penyelesaian jangka panjang.
NEW DELHI: Musim sejuk yang baru bermula sekali lagi membawa bersama krisis pencemaran udara ke ibu negara India, New Delhi, apabila kualiti udara merosot ke paras berbahaya dan menimbulkan persoalan sama ada pihak berkuasa benar-benar bersedia menghadapi masalah tahunan itu.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, lapisan jerebu tebal menyelubungi bandar raya berpenduduk lebih 30 juta orang itu, mengurangkan jarak penglihatan dan meningkatkan risiko kesihatan kepada jutaan penduduk.
Pencemaran udara di New Delhi lazimnya memuncak antara Oktober hingga Januari akibat gabungan faktor termasuk pembakaran sisa tanaman di negeri-negeri jiran, pelepasan asap kenderaan, aktiviti industri serta keadaan cuaca yang memerangkap bahan pencemar berhampiran permukaan bumi.
Walaupun kerajaan pusat dan kerajaan tempatan telah memperkenalkan pelbagai langkah dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk sekatan ke atas aktiviti pembinaan, kawalan pelepasan industri dan pelaksanaan pelan tindak balas kecemasan, pakar berpendapat usaha berkenaan masih belum mampu menyelesaikan punca utama masalah.
Pihak berkuasa turut mengaktifkan beberapa langkah kecemasan apabila indeks kualiti udara mencapai tahap sangat tidak sihat, termasuk mengurangkan aktiviti luar di sekolah serta memperketatkan operasi yang menyumbang kepada pencemaran.
Bagaimanapun, menurut laporan Al Jazeera, kumpulan alam sekitar dan pakar kesihatan mengkritik pendekatan yang dianggap lebih bersifat sementara berbanding penyelesaian jangka panjang.
Menurut mereka, masalah pencemaran di New Delhi memerlukan kerjasama menyeluruh antara kerajaan persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan kerana puncanya melangkaui sempadan bandar raya.
Pencemaran udara yang berulang setiap tahun turut memberi kesan besar kepada kesihatan awam.
Pakar perubatan memberi amaran bahawa pendedahan berpanjangan kepada udara tercemar boleh meningkatkan risiko penyakit pernafasan, jantung dan komplikasi kesihatan lain, terutama dalam kalangan kanak-kanak serta warga emas.
Walaupun pelbagai rancangan telah diumumkan sebelum ini, kemunculan semula jerebu tebal pada awal musim sejuk tahun ini mencetuskan persoalan sama ada langkah yang dilaksanakan mencukupi untuk mengelakkan ibu negara India itu daripada terus berdepan krisis pencemaran yang sama setiap tahun.