NEW YORK: Angka kematian akibat ribut salji yang melanda daerah Buffalo di New York, Amerika Syarikat (AS) meningkat kepada 28 pada Selasa sementara ribuan lagi masih terputus bekalan elektrik.

Bencana itu turut meragut sekurang-kurangnya 62 nyawa di seluruh negara akibat insiden berkaitan cuaca.

Di Buffalo, angkatan tentera AS dikerah bagi membantu mangsa serta menjaga kententeraman awam.

Beberapa insiden rompakan turut dilaporkan di pusat bandar.

Menurut Suruhanjaya Polis Buffalo, Joseph Gragmalia, empat individu telah ditahan dipercayai terlibat dalam kejadian rompakan di kedai.

"Ini bukan kes penduduk mencuri makanan, ubat-ubatan atau lampin pakai buang.

"Mereka yang ditahan ini didapati mencuri set televisyen, sofa dan apa sahaja yang ada di kedai terlibat," katanya.

Keadaan cuaca buruk turut menyebabkan ribuan penumpang terkandas di lapangan terbang seluruh negara dengan kira-kira 4,800 penerbangan dibatalkan pada pagi Selasa sahaja.

Keadaan cuaca dijangka akan bertambah baik dengan hanya sedikit salji dilaporkan pada Selasa selain suhu semakin meningkat.

Pihak berkuasa menjangkakan angka kematian akan meningkat dalam beberapa hari ini selain peningkatan suhu akan menyebabkan keadaan banjir di beberapa kawasan.

Lebih 4,000 penduduk masih terputus bekalan elektrik.

Pada Isnin, Presiden AS Joe Biden mengisytiharkan darurat di New York susual situasi kecemasan akibat ribut salji yang dahsyat di negeri itu.

Pasukan penyelamat turut dikerah bagi memeriksa kenderaan yang terkandas bagi mencari mangsa.

Ribut salji | 60 maut akibat insiden berkaitan cuaca di Amerika Syarikat