DUNIA
Angka kematian gempa bumi di Kunar, Afghanistan meningkat kepada lebih 1,400

Gempa bumi itu memusnahkan 5,412 rumah di Kunar, lokasi pusat gempa. - Gambar Reuters/Sayed Hassib
KABUL: Angka kematian akibat gempa bumi baru-baru ini di Wilayah Kunar, timur Afghanistan meningkat kepada lebih 1,400, lapor agensi berita milik kerajaan Agensi Berita Bakhtar (BNA).
Jurucakap kerajaan Afghanistan Mawlavi Zabihullah Mujahid berkata 1,411 kematian disahkan setakat ini akibat gempa bumi itu.
Beliau berkata 3,124 orang turut cedera di Kunar.
Gempa bumi itu memusnahkan 5,412 rumah di Kunar, lokasi pusat gempa.Gempa bumi itu juga menyebabkan kematian dan kerosakan di wilayah Nuristan, Laghman, Nangarhar dan Panjshir, yang ratusan cedera dan banyak rumah musnah.
Dua hari selepas gempa bumi 6.0 magnitud melanda timur Afghanistan, operasi menyelamat dan pemulihan masih berterusan dengan bantuan penduduk tempatan, dengan harapan dapat mengeluarkan lebih ramai mangsa yang terselamat daripada runtuhan.
Pegawai kanan telah sampai ke timur Afghanistan, mempercepat kerja pelbagai jabatan kerajaan dalam menyelamat, memindahkan dan merawat mereka yang cedera, mengebumikan mangsa yang meninggal dunia dan memberikan bantuan kepada keluarga yang kehilangan tempat tinggal.
Di samping usaha untuk mengeluarkan mangsa dari bawah runtuhan, kerajaan Afghanistan dengan sokongan daripada organisasi bantuan domestik dan antarabangsa, mempergiat usaha bantuan untuk penduduk yang terjejas.
Hospital di seluruh timur Afghanistan dan juga di ibu negara digerakkan untuk merawat mereka yang cedera.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami