DUNIA
Angka kematian protes antirasuah di Nepal meningkat kepada 72 orang

Sebuah kereta yang hangus terbakar akibat protes antirasuah susulan larangan sementara media sosial dilihat di hadapan pejabat perdana menteri di Kathmandu, Nepal. - Foto AP
KATHMANDU: Pihak berkuasa Nepal mengesahkan bahawa angka kematian akibat protes antirasuah yang tercetus minggu lalu telah meningkat kepada 72 orang, selepas pasukan mencari menemui lebih banyak mayat di bangunan kerajaan, kediaman dan premis yang dibakar semasa rusuhan.
Ringkasan AI
- Angka kematian protes anti-rasuah di Nepal meningkat kepada 72 orang, dengan lebih 2,100 cedera selepas bangunan kerajaan dan kediaman dibakar semasa rusuhan.
- Perdana Menteri K.P. Sharma Oli meletak jawatan, digantikan oleh Sushila Karki sebagai perdana menteri interim dan wanita pertama memegang jawatan tersebut.
- Kerajaan umum pampasan dan pilihan raya baharu, dengan Karki berikrar membina semula struktur musnah dan menetapkan tarikh pilihan raya pada 5 Mac 2026.
Protes yang digerakkan oleh golongan muda bermula di ibu kota dan merebak ke beberapa bandar lain, mendorong Perdana Menteri K.P. Sharma Oli meletak jawatan pada Selasa.
Penunjuk perasaan bertindak membakar bangunan kerajaan termasuk Mahkamah Agung, parlimen, balai polis, kediaman ahli politik dan perniagaan swasta.
Jurucakap Kementerian Kesihatan, Prakash Budathoki, berkata: “Mayat mangsa yang terperangkap di pusat beli-belah, rumah dan bangunan lain yang dibakar kini sedang ditemui.”
Bekas Ketua Hakim Negara, Sushila Karki, telah dilantik sebagai Perdana Menteri interim, menjadikannya wanita pertama memegang jawatan tertinggi negara itu.
Beliau ditugaskan untuk mengadakan pilihan raya parlimen baharu pada 5 Mac 2026.
Beliau memulakan tugas di bangunan berhampiran pejabat perdana menteri yang turut dibakar semasa protes.
“Kita mesti segera memulakan usaha membina semula struktur yang musnah,” kata Karki kepada pegawai kanan kerajaan, menurut laporan televisyen negeri.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami