Angka korban di Gaza hampiri 67,200 ketika Israel teruskan serangan genosid terhadap warga Palestin

Rejim Zionis menyambung semula serangan ke atas Semenanjung Gaza pada 18 Mac dan sejak itu meragut nyawa 13,588 orang serta mencederakan 57,800 yang lain, sekali gus memusnahkan perjanjian genjatan senjata pada Januari. - Gambar fail/REUTERS
ISTANBUL: Sekurang-kurangnya 67,183 penduduk Palestin maut dalam serangan genosid yang dilancarkan Israel di Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Kementerian Kesihatan Palestin pada Rabu.
Dalam kenyataannya, kementerian itu memaklumkan sebanyak 10 mayat dibawa ke hospital dalam tempoh 24 jam lepas, manakala 61 orang cedera, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang cedera akibat serangan Israel meningkat kepada 169,841 orang.
"Ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan dan di jalanan kerana pasukan penyelamat tidak dapat tiba ke lokasi," menurut kenyataan itu.
Kementerian itu turut memaklumkan bahawa 11 orang cedera akibat tembakan tentera Israel ketika cuba mendapatkan bantuan kemanusiaan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah penduduk Palestin yang terbunuh ketika mencari bantuan meningkat kepada 2,613 orang, manakala lebih 19,164 lagi cedera sejak 27 Mei.Rejim Zionis menyambung semula serangan ke atas Semenanjung Gaza pada 18 Mac lepas dan sejak itu meragut nyawa 13,588 orang serta mencederakan 57,800 yang lain, sekali gus memusnahkan perjanjian genjatan senjata dan pertukaran tahanan yang tercapai pada Januari.
Pada November lepas, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung serangan yang dilancarkan ke atas wilayah itu.
--BERNAMA-ANADOLU
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami