Trump umum Israel, Hamas sepakat fasa pertama pelan damai Gaza

Pelan tersebut turut merangkumi pembebasan kira-kira 2,000 tahanan Palestin oleh Israel dan penyerahan semua tebusan oleh Hamas, termasuk jasad mangsa yang terkorban. - Foto fail/REUTERS
WASHINGTON: Trump umum Israel, Hamas sepakat fasa pertama pelan damai GazaPresiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Rabu mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah bersetuju secara rasmi terhadap fasa pertama pelan damai yang dirangka AS, sekali gus menandakan detik bersejarah dalam usaha menamatkan konflik dua tahun di Gaza.
Ringkasan AI
- Presiden AS Donald Trump umum persetujuan rasmi antara Israel dan Hamas melibatkan pembebasan tebusan dan pengunduran tentera sebagai langkah awal ke arah keamanan berkekalan di Gaza.
- Rundingan dimuktamadkan di Mesir dengan sokongan Qatar, Turkiye dan negara Teluk, disifatkan Trump sebagai pencapaian luar biasa dan "hari yang hebat" buat dunia Islam dan serantau.
- Pelan turut merangkumi pembebasan 2,000 tahanan Palestin dan penubuhan jawatankuasa teknokrat Palestin, dengan pemantauan oleh Lembaga Damai antarabangsa yang dipengerusikan Trump.
“Ini bermakna SEMUA tebusan akan dibebaskan tidak lama lagi, dan Israel akan menarik balik tentera mereka ke garisan yang dipersetujui sebagai langkah awal ke arah keamanan yang kukuh, berkekalan dan abadi,” tambahnya.
Trump turut menegaskan bahawa semua pihak akan dilayan secara adil dan menyifatkan hari tersebut sebagai “hari yang hebat buat dunia Arab dan Islam, Israel, negara-negara serantau, dan AS.”
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada perantara dari Qatar, Mesir dan Turkiye atas kejayaan rundingan tersebut.
“Diberkatilah para pendamai,” tambahnya.
Rundingan yang berlangsung di Mesir melibatkan perantara dari Qatar, Turkiye dan Mesir, dengan sokongan diplomatik meluas dari negara Teluk.
Pelan tersebut turut merangkumi pembebasan kira-kira 2,000 tahanan Palestin oleh Israel dan penyerahan semua tebusan oleh Hamas, termasuk jasad mangsa yang terkorban.
Sebuah “Lembaga Damai” antarabangsa akan ditubuhkan untuk memantau pelaksanaan, dengan Trump dilantik sebagai pengerusi.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyokong pelan itu dan menyifatkannya sebagai memenuhi matlamat keselamatan negara.
Hamas pula menyambut baik beberapa elemen utama, termasuk penarikan tentera dan penolakan pemindahan paksa, namun belum bersetuju untuk melucutkan senjata sepenuhnya.
Trump menegaskan bahawa rundingan lanjut akan diteruskan bagi memuktamadkan pelan penuh.
“Ini bukan sekadar tentang Gaza, tetapi tentang keamanan yang telah lama diidamkan di Asia Barat,” katanya.
Penganalisis antarabangsa menyambut baik perkembangan ini namun mengingatkan bahawa kejayaan pelan damai bergantung kepada komitmen berterusan dan kejelasan dalam pentadbiran Gaza pasca konflik.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami