DUNIA
Angka korban di Gaza terus meningkat - OCHA

OCHA berkata, lebih banyak kes kematian akibat kelaparan dan kekurangan zat makanan direkodkan kebelakangan ini. - Gambar/ AP
NEW YORK: Angka korban dalam kalangan rakyat Palestin yang dilanda kebuluran serta petugas bantuan di Gaza terus meningkat walaupun terdapat penangguhan sementara serangan oleh tentera Israel, menurut agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu, lapor Xinhua.
Ringkasan AI
- Angka korban akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan di Gaza terus meningkat walaupun terdapat jeda taktikal serangan oleh tentera Israel. Petugas bantuan turut terkesan dengan tekanan kerja dan kekurangan makanan, termasuk mereka yang memberi sokongan kesihatan mental dan psikososial.
- PBB dibenarkan membawa masuk sejumlah kecil bahan api melalui lintasan Kerem Shalom dan Zikim, namun jumlah itu masih jauh daripada mencukupi untuk memenuhi keperluan asas sektor kesihatan, air dan telekomunikasi. Beberapa misi bantuan berdepan halangan mendapatkan kelulusan pergerakan daripada pihak berkuasa Israel.
- OCHA menekankan keperluan gencatan senjata berkekalan dan pembukaan penuh semua lintasan bagi memastikan aliran bekalan berterusan. Bantuan kemanusiaan dan komersial perlu dibenarkan masuk, pergerakan bantuan dipermudah, dan petugas diberi ruang selamat untuk menjalankan tugas mereka.
Pekerja sosial yang terlibat dalam perkhidmatan sokongan kesihatan mental dan psikososial turut terkesan akibat situasi semasa.
Walaupun keadaan penyampaian bantuan dan bekalan jauh daripada memadai, PBB dan rakan-rakan pelaksana tetap berusaha memanfaatkan setiap ruang yang ada sepanjang tempoh jeda taktikal ini untuk membantu rakyat Gaza yang memerlukan.
Badan dunia itu telah dibenarkan membawa masuk sejumlah kecil bahan api melalui lintasan Kerem Shalom/Karem Abu Salem dan Zikim. Hampir separuh daripada bekalan itu dihantar ke utara Gaza bagi menyokong keperluan kritikal dalam sektor kesihatan, perkhidmatan kecemasan, air dan telekomunikasi.
Namun begitu, agensi itu menegaskan bahawa jumlah bahan api yang dibenarkan masuk masih jauh daripada mencukupi untuk memenuhi keperluan asas penting bagi menyelamatkan nyawa.
Sehubungan itu, OCHA menekankan bahawa gencatan senjata yang berkekalan amat diperlukan. Jeda taktikal secara sepihak sahaja tidak memadai untuk memastikan aliran bekalan yang berterusan bagi memenuhi keperluan besar di Gaza.
Agensi itu turut memaklumkan bahawa PBB dan rakan pelaksana masih meneruskan koordinasi dengan pihak berkuasa Israel bagi mengurus pergerakan bantuan kemanusiaan di dalam Gaza.
"Semalam, tiga misi yang dipermudah membolehkan kakitangan kami mengambil bekalan makanan dari lintasan Kerem Shalom dan Zikim serta memindahkan bahan api ke dalam Gaza.
"Namun, beberapa misi lain berdepan halangan, terutamanya dalam mendapatkan kelulusan pergerakan atau 'lampu hijau' daripada pihak berkuasa Israel," kata OCHA.
Agensi itu turut menegaskan bahawa bagi mempertingkat penghantaran bantuan dan memenuhi keperluan mendesak penduduk Gaza, semua lintasan mesti dibuka sepenuhnya, pelbagai jenis bekalan sama ada kemanusiaan atau komersial perlu dibenarkan masuk, pergerakan bantuan di dalam Gaza hendaklah dilindungi dan dipermudah, manakala petugas bantuan harus diberi ruang untuk menjalankan tugas mereka.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami